Kopitiam didenda kelirukan pengguna Islam

Admin
ONG Ah Teong (kanan sekali) dan Mohd. Rashid Hasnon (kiri sekali) menunjukkan keratan akhbar aduan awam serta notis pemberitahuan halal yang dirampas dari sebuah kopitiam sambil ditemani Lim Siew Khim di sini baru-baru ini.
ONG Ah Teong (kanan sekali) dan Mohd.
Rashid Hasnon (kiri sekali) menunjukkan keratan akhbar aduan awam serta notis pemberitahuan halal yang dirampas dari sebuah kopitiam sambil ditemani Lim Siew Khim di sini baru-baru ini.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNBertindak atas aduan awam, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) mengadakan serbuan terhadap sebuah kopitiam yang didakwa menyediakan hidangan katak di dapur di sini baru-baru ini.

Walaupun tiada sebarang makanan mencurigakan ditemui ketika serbuan dijalankan, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengeluarkan 15 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan terhadap pemilik premis.

Ahli Majlis MPPP, Mohd. Rashid Hasnon berkata, kesalahan paling serius adalah mempamerkan perkataan halal hingga mengelirukan pengguna terutamanya buat pengguna beragama Islam yang mengunjungi premis.

“Mereka mempamerkan perkataan ini (halal) di hadapan kedai hingga mengelirukan pengguna. Ini kerana, dari sudut pandangan jauh, pelanggan hanya akan nampak perkataan halal berwarna putih, padahal, notis tersebut adalah pemberitahuan bahawa sijil halal masih lagi dalam proses permohonan,” katanya selepas serbuan di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas berhubung kompaun dikenakan, pemilik kopitiam disabit kesalahan dan akan dihadapkan ke mahkamah di bawah Akta Perihal Dagangan pindaan 2011. Denda RM200,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali bakal dikenakan sekiranya disabit kesalahan.

Hadir sama, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jaipp, Mohd. Saiful Hamizi Mohd. Yusoff; Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNKK, Mohd. Hussein Bahari; Pengerusi Jawatankuasa Gantian Tetap Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong dan Ahli Majlis MPPP, Lim Siew Khim.

Dalam pada itu, Ah Teong berkata, 15 kompaun dikeluarkan MPPP adalah melibatkan pelbagai kesalahan yang keseluruhannya berjumlah RM450.

“Sebanyak 12 kompaun adalah bagi kesalahan pekerja gagal menunjukkan bukti suntikan kepialu. Kompaun tidak mengelakkan makanan tercemar dengan mencampurkan makanan yang sudah dimasak dan belum dimasak di dalam peti sejuk (1), premis kotor (1) dan kesalahan menggunakan suratkhabar untuk membalut sayur-sayuran (1).

“Kopitiam (ini) yang dahulunya telah disenaraikan sebagai gred A bakal diturunkan ke gred B selepas pemeriksaan mengejut ini dijalankan. Pihak MPPP memandang serius perkara ini kerana ianya melibatkan sensitiviti buat orang Islam,” ujar beliau.