Korporat tanam 10,000 pokok hijaukan kawasan sekitar

Admin

Bukit Mertajam – Seramai 800 peserta menyertai aktiviti menanam 10,000 anak pokok di sekeliling pusat membeli-belah AEON Bukit Mertajam (AEON) sebagai inisiatif menghijaukan kawasan sekitarnya di sini baru-baru ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus semasa ucapan perasmian program itu berkata, aktiviti sebegitu adalah amatlah dialualukan bagi meningkatkan kesedaran dan rasa cinta terhadap alam sekitar.

“Aktiviti kemasyarakatan seperti ini secara tidak langsung dapat menjalinkan hubungan persahabatan di antara individu yang terlibat dengan pihak pengurusan pusat membeli belah.

“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kesedaran kepada orang ramai agar lebih menghargai alam sekitar dan betapa pentingnya tumbuhan hijau terhadap bumi kita ini,” ujarnya pada Upacara Menanam Pokok Bersama Komuniti di AEON Mall di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi AEON Co. (M) Bhd., Datuk Abdullah Mohd Yusof, Nur Qamarina Chew (Pengarah Urusan AEON Co. (M) Bhd.), Lee Khai Loon (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Machang Bubuk) dan Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP).

Selain itu, turut terlibat adalah penduduk sekitar, wakil-wakil jabatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), murid-murid sekolah dan warga kerja AEON.

Tambah beliau, walaupun AEON beridentitikan perniagaan dan komersial, namun pihak berkenaan tidak lupa melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap aspek persekitaran.

“Alam sekitar adalah sesuatu yang amat penting dan ia perlu dipelihara dan pulihara agar dapat mengimbangi persekitaran bandar serta mengurangkan pemanasan yang amat ketara sekarang ini.

“Saya berharap aktiviti ini dapat dijadikan iktibar oleh entiti perniagaan lain dan menjadikan ia sebagai satu program yang berterusan agar dapat menghijaukan bumi ini,” ujar beliau.

Pada program sama, pihak AEON melalui Yayasan AEON Malaysia turut menyampaikan bantuan buku kepada lima sekolah terpilih di sekitar Bukit Mertajam.

Sehingga kini, pihak AEON telah menanam sebanyak 450,000 pokok hutan dan renek di seluruh Malaysia dalam usaha menghijaukan bumi ini.