CSR jadikan Seberang Perai lebih bersih & indah

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT TENGAH – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menggesa mana-mana pihak yang bersedia menjalankan pengindahan di daerah Seberang Perai melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) supaya menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Seruan itu dibuat bersempena Majlis Perasmian Projek CSR Lanskap Tanah Lapang Taman Bayu Mutiara oleh Tokong Ang San King di Bukit Tengah di sini baru- baru ini.

Menurut Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif, terdapat lapan lokasi di Seberang Perai Tengah (SPT) dikenalpasti boleh ditaja individu, pihak syarikat, persatuan, pemaju, industri, sekolah atau lain-lain komuniti untuk dibangunkan.

“Tanah Lapang Taman Bayu Mutiara adalah projek ke-lapan yang telah siap di bawah Program CSR Lanskap MPSP bagi daerah SPT.

“Hari ini merupakan perasmian projek fasa pertama yang menelan belanja sebanyak RM45,000 dan ditaja sepenuhnya Tokong Ang San King merangkumi pembinaan pondok rehat, pemasangan pagar, pembinaan trek joging dan pembinaan penutup konkrit bagi parit sedia ada,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan Ang Chai Kooi (Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Tokong Ang San King).

Tambah Maimunah, projek fasa kedua dijangka siap dalam tempoh setahun setengah lagi dan lebih tertumpu kepada penaiktarafan dan penambahan kemudahan peralatan rekreasi seperti pondok rehat untuk warga emas, trek joging, lampu dan padang futsal.

Dalam pada itu, Maimunah memberitahu, MPSP sentiasa memberi peluang kepada setiap agensi yang berminat untuk mengambil kawasan-kawasan lapang sebagai anak angkat kepada projek CSR.

“Malah, MPSP juga memiliki 1,038 pondok bas yang boleh dijadikan projek CSR dan pihak- pihak yang berminat untuk menjalankan aktiviti ini boleh memohon kepada terus kepada MPSP.

“Melalui aktiviti CSR ini, ia bukan sahaja dapat membantu menjadikan kawasan Seberang Perai ini lebih bersih dan indah, malah dapat menggalakkan masyarakat mempunyai sikap sense of ownership, belonging and pride sekaligus lebih menghargai projek yang dijalankan,” ujar beliau.