Kualiti pembangunan pendidikan jana modal insan bertaraf global

 

Pendidikan rendah dan menengah

TUAN YANG DIPERTUA,

Cabaran pendidikan di Negara kita jelas bukan hanya di peringkat pengajian tinggi semata-mata, malah akar permasalahannya bertunas daripada peringkat sekolah lagi.

Kini, setelah sekian lama pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan, kita masih lagi jauh daripada mencapai matlamat pertamanya, iaitu melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu. Jurang kaum antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan semakin melebar. Menurut laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015, jumlah pelajar Cina ke sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) meningkat daripada 92 peratus pada tahun 2000 kepada 96 peratus pada tahun 2011. Begitu juga dengan pelajar daripada etnik India ke sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), daripada 47 peratus kepada 56 peratus. Jika dibandingkan dengan tahun 1972, kegagalan sekolah kebangsaan sebagai agen pembinaan bangsa Malaysia lebih terserlah. Pada tahun tersebut, peratus pelajar Cina dalam SJKC tidak begitu tinggi, iaitu hanya 75 peratus, sementara yang lain telah memilih sekolah kebangsaan.

Hari ini, sekolah kebangsaan sudah seakan-akan menjadi sekolah mono-etnik dengan pendaftaran hanya 6 peratus bukan Bumiputera, berbanding 13 peratus pelajar bukan Cina yang mendaftar dalam SJKC. Bayangkan betapa teruknya keadaan sekolah kebangsaan apabila SJKC mempunyai demografi yang lebih pelbagai. Hal ini pasti kerana kebanyakan ibu bapa telah hilang keyakinan dengan kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan.

Tambah mendukacitakan adalah rekod pencapaian pelajar kita dalam program-program penilaian antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA) yang dianjurkan oleh Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD).

Fokus kajian ini adalah untuk menguji kesediaan pelajar sekolah untuk memasuki alam dewasa dan melibatkan pelajar berumur 15 tahun dengan 3 domain utama – Matematik, Sains dan Bacaan. Keputusan PISA tahun 2009 sangat menghampakan, di mana Malaysia berada pada kedudukan ke-57 (daripada 75 negara) untuk pencapaian Matematik, ke-52 untuk Sains dan ke-55 untuk Bacaan. Sebagai bandingan, Shanghai mencatatkan keputusan kedudukan pertama untuk ketiga-tiga domain manakala Singapura berada pada kedudukan kedua untuk Matematik, keempat untuk Sains dan kelima untuk Bacaan. Kedudukan Malaysia dalam PISA 2009 membuktikan bahawa:

1. Malaysia berada dalam kelompok 20 negara tercorot bersama-sama dengan Negara seperti Montenegro, K azakhstan, Jordan dan indonesia;

2. Kedudukan Malaysia lebih rendah daripada Thailand dalam ketiga-tiga domain;

3. Skor purata Malaysia adalah lebih rendah daripada skor purata negara OeCD dan antarabangsa;

4. Sehingga 60 peratus pelajar Malaysia gagal mencapai tahap minimum untuk mengambil bahagian dalam kehidupan secara efektif dan produktif.

Sementara itu, pelajar-pelajar yang sama, iaitu pelajar berumur 15 tahun, telah mencatat pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun yang sama. Bilangan calon PMR yang mendapat gred A dalam semua subjek meningkat 1,810 orang kepada 28,188 orang berbanding hanya 26,378 orang pada tahun 2008.

Sekali lagi, ketidakselarian berlaku antara penilaian antarabangsa dengan penilaian dalaman. Saya kira, masa sudah tiba untuk penstrukturan semula yang ketara dalam dasar dan sistem pendidikan negara kita. Pun begitu, perubahan tidak boleh sekadar infrastruktur dan tatacara pendidikan, tetapi harus lebih mendalam dan meliputi latihan, insentif dan skop tugas guru serta rombakan kurikulum agar menghasilkan pelajar yang berupaya untuk berfikir dan bukan hanya menjawab soalan peperiksaan tempatan.

Pembangunan anak muda

TUAN YANG DIPERTUA,

Dalam soal pembangunan modal insan, titah Tuanku juga menyentuh tentang pembangunan belia termasuklah melalui usaha kerajaan mengarusperdanakan program kesukarelawanan yang diterajui 1Malaysia For Youth. Namun, saya masih tidak jelas mengenai 1Malaysia For Youth ini. Adakah ianya semata-mata penjenamaan semula program Rakan Muda yang ditubuhkan pada tahun 1994 dahulu yang kini tidak diketahui statusnya – masih aktif atau telah berkubur tanpa nisan?

Selain itu, saya juga berharap agar anak-anak muda benar-benar dilibatkan dalam pertubuhan belia ini, termasuk di peringkat pentadbiran dan pengurusan, dan tidak hanya dijadikan sebagai pemenuh majlis parti pemerintah dan tukang kibar sepanduk “I love PM” yang diberi secara percuma.

Kekhuatiran saya ini ada asasnya, kerana kebanyakan pertubuhan belia daripada segi pengurusan dan pentadbirannya dimonopoli oleh ahli politik. Ambil sebagai contoh, Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang mendakwa memainkan peranan besar dalam perencanaan, pemantauan, pelaksanaan dan penilaian dalam menentukan hala tuju pembangunan anak muda negara. Berdasarkan Perlembagaan MPBN, komposisi anggota Majlis sangat didominasi oleh Menteri dan pegawai tinggi kerajaan sebagaimana berikut:

a) Menteri sebagai Pengerusi;

b) Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggungjawab bagi hal ehwal belia;

c) Ketua Pengarah;

d) Seorang wakil setiap Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal belia;

e) Seorang wakil daripada Kementerian yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan;

f) Tidak lebih daripada 10 orang wakil daripada agensi kerajaan yang mengendalikan hal ehwal belia yang ditentukan oleh Menteri;

g) Tidak lebih daripada 25 orang pegawai Kementerian yang bertanggungjawab bagi hal ehwal belia yang dilantik oleh Menteri;

h) Semua Anggota Dewan Tertinggi dan Anggota Jawatankuasa Kerja badan induk pertubuhan belia di peringkat kebangsaan; dan

i) Tidak lebih daripada 20 orang yang pada pendapat Menteri boleh menyumbang secara berkesan kepada pembangunan belia.

Semakan bagi senarai keahlian MPBN Penggal XXVI Tahun 2007 – 2008 mendapati, bagi wakil setiap kerajaan negeri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal belia hampir kesemuanya adalah Ahli Exco Kerajaan Negeri masingmasing. Wakil bagi kementerian yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan pula diwakili sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Zulhasnan Rafique. 10 orang wakil dari agensi kerajaan yang mengendalikan hal ehwal belia pula terdiri daripada Ketua Pengarah dan Ketua Setiausaha Kementerian dan Jabatan berkaitan. Bagi senarai 20 orang yang pada pendapat Menteri boleh menyumbang secara berkesan kepada pembangunan belia, hamper kesemua mereka merupakan Ahli Parlimen atau pimpinan Barisan Nasional.

Jelas, dalam struktur pentadbiran dan pengurusan, perwakilan belia yang tulen amat kurang dan penglibatan berlebihan ahli politik dikhuatiri akan membantutkan agenda pembinaan belia yang lebih mandiri dan sebaliknya menjadikan belia sebagai petugas politik murahan parti pemerintah semata-mata.

TUAN YANG DIPERTUA,

Pembangunan modal insan di negara kita adalah isu yang wajar diberi tumpuan nasional. Jika persaingan antarabangsa pada abad ke-20 adalah bertumpu kepada sumber asli, persaingan baru pada abad ke-21 akan bertumpu kepada sumber manusia. Dengan kata lain, kejayaan sesebuah negara akan bergantung kepada keupayaannya untuk membina, menarik dan mengekalkan modal insan yang berdaya saing.

Malangnya, terdapat pelbagai kepincangan dalam system penjanaan modal insan di Negara kita, bermula dari peringkat sekolah sehingga ke pengajian tinggi. Anak-anak muda kita tidak digalakkan untuk berfikir dan sebaliknya dipupuk menjadi pak turut sematamata.

Dasar pendidikan negara pula dijadikan mainan politik seperti ketidaktentuan kerajaan dalam dasar PPSMI yang telah menjejaskan satu generasi pelajar. Tambahan pula, segala jenis kongkongan dan sekatan dikenakan demi menghalang ancaman kepada pemerintah, sementara daya saingan graduangraduan kita digadai.

Jelas, sistem pendidikan kita perlu dibebaskan daripada cengkaman politik dan gagasan yang dangkal. Ini harus dicerminkan dalam perancangan akan datang, termasuk dalam laporan akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang sehingga kini belum dilancarkan walaupun enam daripada 100 inisiatif telah dilaksanakan.

TUAN YANG DIPERTUA,

Izinkan saya berakhir dengan memetik kata-kata Rendra dalam puisinya:

Seseorang berhak diberi ijasah dokter,

Dianggap sebagai orang terpelajar,

Tanpa diuji pengetahuannya akan keadilan.

Dan bila ada tirani merajalela,

Ia diam tidak bicara,

Kerjanya cuma menyuntik saja.

Bagaimana? Apakah kita akan

terus diam saja?

Mahasiswa-mahasiswa ilmu hukum dianggap sebagai benderabendera upacara,

Sementar hukum dikhianati berulang kali.

ZAIRIL KHIR JOHARI

Ahli Parlimen Bukit Bendera