Kuasai Revolusi Industri 4.0 dalam sistem penyampaian, seru KM kepada penjawat awam negeri

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Penjawat awam negeri Pulau Pinang perlu menguasai ilmu pengetahuan berasaskan pengumpulan dan analisa data yang dapat membantu mereka menempatkan diri dalam Revolusi Industri 4.0.

Seruan tersebut disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sempena Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Bersama-sama Ketua Menteri.

Guan Eng berkata, bagi mencetuskan paradigma atau transformasi berbentuk ‘game-changer‘, para penjawat awam negeri perlu menguasai Revolusi Industri 4.0 dalam melaksanakan sistem penyampaian kepada rakyat.

“Revolusi Industri 4.0 adalah ilmu pengetahuan berasaskan pengumpulan dan analisa data menerusi komputer khususnya big data analytics, pengkomputeran awan, artificial intelligence, robotics, internet benda (IOT) dan e-dagang.

“Penjawat awam perlu memahami hal (Revolusi Industri 4.0) ini, jika tidak, anda akan ketinggalan dan tidak akan maju kerana teknologi hari ini mengubah kehidupan kita.

“Jika kita tidak faham sebetulnya, ia (teknologi) akan memerintah kita. Jadi, sekiranya kita tak mahu dikuasai teknologi, caranya adalah dengan kita memahami teknologi tersebut secara lebih mendalam,” ucapnya di hadapan kira-kira 4,000 penjawat awam negeri di sini 20 Disember lalu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Exco-exco Kerajaan Negeri; Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri); Dato’ Sarul Bahiyah Abu (Pegawai Kewangan Negeri); Dato’
Anas Ahmad Zakie (Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri); Sahibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (Mufti Kerajaan Negeri) dan Khalid Khan Abdullah (Timbalan Ketua Audit Negara).

Menurut Guan Eng, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) merupakan agensi pertama di bawah Kerajaan Negeri yang telah mengadakan kursus khas kepada kakitangannya berhubung Revolusi Industri 4.0.

Sehubungan itu, beliau yang merupakan Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berharap semua penjawat awam negeri akan terus menyemarak dalam melaksanakan tanggungjawab berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) dan SIKAP (Skill, Integrity, Knowledge, Attitude,
Procedure).

“Dalam usaha memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam, saya berharap semua dapat membantu kami (Kerajaan Negeri) menerangkan dasar-dasar Kerajaan Negeri dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri keusahawanan dan  kebajikan yang bersih, hijau, sihat dan selamat,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Kerajaan Negeri turut menerima pengiktirafan Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Bertaraf 5 Bintang dari Jabatan Audit Negara dan pencapaian Pengurusan Lean Bertaraf Emas daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).