Peniaga puji wajah baru Chowrasta gesa Pusat pulih ekonomi negara

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI & LAW SUUN TING 

 

LAZIMNYA, rata-rata berpuas hati dengan penaiktarafan pasar antara tertua negara, Pasar Chowrasta, namun di sebalik senyuman tersebut, para peniaga serta pengunjung yang ditemui meluahkan bahawa Kerajaan Pusat perlu melakukan sesuatu dengan keadaan ekonomi Malaysia kini.

Ketika penulis dan jurugambar bertandang ke gerai menjual santan milik keluarga OMAR JEFRI, 43, kebetulan ketika itu beliau sedang melayani seorang pelanggan yang ingin membeli santan bernilai RM2.

Melihat pada bungkusan plastik kecil yang hanya hampir memenuhi separuh daripada saiz biasa, penulis tersentak sambil bertanya kepada Omar, “Ini santan RM2?”

Sambil menoleh ke arah penulis, Omar dengan tersenyum mengangguk dan menjawab “Ya”.

“Pasaran dulu lagi bagus sebab ekonomi lebih okay.

Sekarang, pelanggan macam terpaksa beli, tak beli tapi kena masak, terpaksa juga kena beli.

“Jika ekonomi bagus, orang boleh beli lebih barang lebih okay, kita berniaga juga seronok,” katanya yang telah 20 tahun  mengusahakan perniagaan keluarga yang diperturunkan sejak tahun 50-an.

Pendapat sama turut dikongsi peniaga ayam, CHENG SOON HENG, 60, yang telah berniaga selama 35 tahun.

“Tanya sama Perdana Menteri kenapa ekonomi tidak baik.

“Berbanding dulu, perniagaan kini tidak seberapa sebab ekonomi negara tidak baik.

“Malah, bagi saya, saya tidak upah orang gaji sebab bila upah orang gaji, saya tidak boleh untung kerana kena bayar upah,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

Bagaimanapun, sebagai orang lama Pasar Chowrasta, Omar dan Soon Heng amat berpuas hati dengan infrastruktur dan keadaan di Pasar Chowrasta kini.

“Dah setahun duduk di sini, tak kena hujan, tak kena panas… amat selesa.

“Sewa bulanan juga amat rendah. Air dan elektrik, kami cuma bayar mengikut kadar yang kami gunakan sebab setiap gerai dilengkapi dengan meter masing-masing.

“Kerajaan sekarang (Pakatan Harapan) lebih okay, lebih baik,” jelas Soon Heng yang berasal dari Bayan Baru sambil tersenyum dengan menyatakan bahawa beliau bakal menerima wang RM100 Program Warga Emas buat julung kalinya tahun ini.

Bagi Omar, dengan keadaan lantai Pasar Chowrasta yang tidak lagi basah dan licin, beliau menyatakan bahawa tiada lagi pelanggan yang jatuh tergelincir.

“Sempoi… lantai, tandas dicuci dua kali sehari.

Lantai tidak lagi basah, malah tandas yang bersih juga dapat digunakan secara percuma,” katanya sambil memuji bahawa Kerajaan Negeri kini berada dalam ‘keadaan’ baik.