Kuatkuasa RKK Bukit Bendera, Tapak Warisan Dunia George Town lanjut 1 September

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bukit Bendera dan RKK Tapak Warisan Dunia George Town yang sepatutnya dikuatkuasa pada 1 Ogos, akan dilanjutkan sehingga 1 September 2016.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, disebabkan beberapa isu teknikal dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Kerajaan Negeri akan melanjutkan tempoh satu bulan (dan mula dikuatkuasakan) pada 1 september (2016), ujarnya sebelum meminta Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar dan Desa dan Perumahan) mengulas lanjut berhubung perkara berkaitan.

Hadir sama pada sidang media berkaitan, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mokhtar Mohd. Jait.

Difahamkan, RKK Bukit Bendera adalah suatu pelan induk terperinci yang mengandungi idea-idea formal atau cadangan bagi menjadikan Bukit Bendera sebagai destinasi pelancongan yang unik, selain kaedah penyelesaian bukit mampan. Pewartaan RKK Tapak Warisan Dunia George Town pula dibuat setelah semua peruntukan di bawah Subseksyen 15(1C), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dipatuhi.

Akta 172 akan berperanan sebagai satu garis panduan bagi kawalan perancangan pembangunan dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, dengan RKK berkaitan diluluskan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang.

Pada sidang media itu, Guan Eng turut mengumumkan Mokhtar sebagai Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang yang pertama dalam sejarah negeri ini.

Manakala, Kon Yeow pula memberitahu, langkah moratorium atau pergantungan serta penangguhan kegiatan penguatkuasaan berwajib atas persetujuan bersama dalam menjayakan pelan pemutihan hotel di negeri ini turut dilanjutkan sehingga 1 September ini.

“Apa yang saya umumkan (sebelum ini) mengenai tarikh pelaksanaan kuatkuasa 1 Ogos (2016) berhubung pelan pemutihan hotel, maka akan ikut tarikh 1 September (2016)…maka pengusaha yang masih belum masuk (membuat permohonan) bolehlah mengambil peluang terakhir ini.

“Maksudnya, sebarang permohonan yang dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), sekiranya selepas 1 September (2016) itu akan mengikut apa yang diperuntukan dalam SAP (sistem, aplikasi dan produk-produk),” jelas beliau.

Selepas itu, Jagdeep menjelaskan mengenai skop serta proses penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Negeri Pulau Pinang 2016, yang akan menjadi mekanisma perundangan subsidiari terhadap penguatkuasaan Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011.

“Skop Peraturan-peraturan Warisan Negeri Pulau Pinang 2016 ini akan memperincikan peruntukan bagi pengurusan, pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya dan warisan semula jadi serta tapak-tapak warisan lain di seluruh negeri Pulau Pinang, tetapi tidak termasuk objek, tapak warisan dan warisan kebudayaan di bawah air yang telahpun didaftarkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, Akta 645,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 19 Mei 2011, lalu mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas pada 27 Jun tahun sama.

Tambah Jagdeep, pelaksanaan Peraturan-peraturan Warisan Negeri Pulau Pinang 2016 dan Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 kini di bawah tanggungjawab Pesuruhajaya Warisan.

“Penetapan tarikh kuasa enakmen bolehlah ditentukan selepas tertubuhnya Majlis Warisan Negeri Pulau Pinang dan pelantikan Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang,” ujarnya.