Sokongan berterusan, P. Pinang berpeluang jadi pemain industri utama E&E – Kah Choon

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BAYAN LEPAS – Pulau Pinang berpeluang menjadi antara pemain industri utama elektrik dan elektronik (E&E) hasil sokongan berterusan kerajaan dan pengubahsuaian polisi lapuk agar seiringan dengan perkembangan teknologi terkini, kata Pengarah investPenang (iP), Datuk Lee Kah Choon.

Jelasnya, Pulau Pinang mungkin tidak mampu menyaingi prestasi negara China dan India sebagai pemain industri utama global, namun, penerimaan serta permintaan positif pasaran mampu melonjakkan keupayaannya.

Katanya, meskipun industri E&E telah bertapak di Pulau Pinang lebih dari 40 tahun, ia tetap menunjukkan pertumbuhan signifikan dari masa ke masa.

“Di bawah program transformasi ekonomi yang diaturkan oleh kerajaan termasuk penyediaan beberapa insentif, proses penstrukturan semula dan kelebihan daya saing logistik yang berintensifkan tenaga kerja mahir membuka peluang bagi Pulau Pinang untuk membangunkan industri E&E.

“Sekiranya sokongan secara berterusan diberikan, Pulau Pinang berpeluang menjadi antara pemain industri utama E&E bukan sahaja di Malaysia, malah negara-negara serantau,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada sesi dialog ‘Growing the Powered by Penang Brand’ dekat Penang Skills Development Centre (PSDC) di sini baru-baru ini.

Hadir sebagai ahli panel, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Inari Amerton Berhad, K.C. Lau, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Pentamaster Corporation Berhad, C.B. Chuah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Vitrox Corporation Berhad, Chu Jenn Weng dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah QDOS Group of Companies, Whong Poh Choon.

Manakala, Kah Choon yang juga Penasihat Khas kepada Y.A.B. Ketua Menteri juga berperanan sebagai moderator penganjuran.

Sesi perkongsian dua hala yang berlangsung selama dua jam itu antara lain membincangkan senario teknologi di Pulau Pinang, penjenamaan semula melalui pembudayaan pemain industri, pendekatan yang diperlukan agar kekal kompetitif dan evolusi inovasi.

if (document.currentScript) {