Kurang campur tangan, galak persaingan pelaburan -KM

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI & ZAINULFAQAR YAACOB

KUALA LUMPUR – Elemen idea, pelaburan dan infrastruktur digagaskan dalam Paradigma Pulau Pinang (2012- 2022) diharap turut mencuri minat pelabur asing dari Eropah ke negeri ini.

Demikian masej disampaikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam pertemuan bersama-sama EUMalaysia Chamber of Commerce and Industry (EUMCCI) di sini baru-baru ini.

“Pengintegrasian ketiga-tiga elemen ini bukan sahaja meningkatkan dinamisme ekonomi, tetapi, juga mampu mewujudkan sebuah masyarakat seimbang dan lestari dengan keadilan sosial untuk semua, serta persekitaran yang sesuai untuk didiami,” ujarnya pada majlis bersejarah itu.

Mengulas lanjut mengenai Paradigma Pulau Pinang, Guan Eng berkata, idea kreatif dan inovatif umpamanya adalah sangat diperlukan untuk pembangunan sosio-ekonomi masa depan negeri.

Atas maksud itu, jelasnya, Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan sebuah Creative Animation Triggers (CAT) di kawasan George Town, pusat bandar negeri yang dikenali sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengurangkan campur tangan dalam urusan perniagaan, termasuk membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) demi menggalakkan persaingan pelaburan dalam semua sektor industri di negeri ini.

Difahamkan, Pulau Pinang berjaya mengekalkan kedudukan negeri paling besar menyumbang pelaburan luar negeri (FDI) kepada negara, iaitu sebanyak RM19.7 bilion dari tahun 2010 sehingga Ogos 2013.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga turut membangunkan infrastruktur awam merangkumi aspek urus tadbir baik, mementingkan ketelusan dalam proses membuat dasar, merancang dan melaksanakan pembangunan yang benar-benar menguntungkan rakyat terbanyak.

Ini kerana, jelasnya, pembangunan infrastruktur awam masa depan Pulau Pinang seharusnya dilihat tidak terbatas pada fizikal jaringan sistem jalan raya serta pengangkutan awam.

“Semua pendekatan holistik dalam kerangka Paradigma Pulau Pinang ini juga dijangka mengubah Pulau Pinang menjadi sebuah masyarakat yang seimbang, intelektual, kreatif, progresif, berdaya saing dan mampan,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Pengerusi EUMCCI, Fermin Fautsch, Minna Saneri (Pengurus Besar EUMCCI), H.E. Luc Vandebon (Duta Besar Delegasi EU ke Malaysia) dan H.E. Nicolai Ruge (Duta Diraja Denmark) antara kenamaan yang mengikuti perkongsian Guan Eng mengenai pelan pembangunan sedekad negeri, Paradigma Pulau Pinang (2012-2022).