Pantas tangani banjir selepas 15 tahun

Admin

BATU UBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan memuji tindakan pantas Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isu banjir dengan menaiktaraf dua longkang masing-masing di Taman Desa Baru, Sungai Dua dan Changkat Minden Jalan 3,5 dan 6, Gelugor di sini.

Menurut Jayabalan, sebelum ini, permohonan penaiktarafan longkang tersebut telah dibuat kepada Kerajaan Negeri sebelum ini iaitu kira-kira 10 hingga 15 tahun lalu, namun tiada apa yang dilaksanakan.

“Kerajaan Pakatan Rakyat hari ini dilihat begitu cepat dan pantas mengambil tindakan apabila permohonan melebarkan longkang diproses dan dijalankan selepas setahun permohonan dibuat.

“Permohonan pelebaran longkang di Taman Desa Baru sudah memasuki 10 tahun, namun tiada apa-apa tindakan.

“Di Changkat Minden, ianya hampir membabitkan tempoh 15 tahun dengan tiada sebarang tindakan jua,” ujarnya kepada pemberita ketika mengadakan sesi lawatan ke dua-dua lokasi terbabit baru-baru ini.

Tambah Jayabalan, keadaan sedemikian amat menyedihkan dan turut mendatangkan bahaya kepada penduduk sekitar kerana selain terdedah kepada banjir, ia juga boleh menjadi tempat takungan air biak nyamuk aedes setiap kali hujan.

Bagi projek di Taman Desa Baru, kos yang dibelanjakan adalah sebanyak RM200,000 iaitu daripada dana Kerajaan Negeri di bawah portfolio Exco Kerajaan Tempatan Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

“Di Changkat Minden yang mana menelan kos sebanyak RM1.25 juta, bakal disiapkan pada penghujung bulan Jun ini dengan merangkumi jarak keseluruhan longkang dinaiktaraf adalah sepanjang 680 meter,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, Jayabalan turut sempat merakamkan ucapan penghargaan kepada badanbadan terlibat dalam projek berkaitan.

“Ini termasuk Telekom Malaysia (TM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) serta para penduduk,’’ nyatanya.