GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menyediakan perkhidmatan kutipan sampah pukal sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 14 hingga 20 Mac 2026.
Menurut Ahli Majlis MBPP, Rohaizat Hamid, kutipan sampah domestik menggunakan tong komunal dan roll on roll off (RORO) akan dibuat sebanyak dua kali dalam tempoh tersebut iaitu 4 pagi hingga 10 pagi dan kutipan kedua, 12 tengah hari dan 4 petang.
Bagi sampah pukal yang bersaiz biasa pula, perkhidmatan khas percuma untuk premis kediaman dalam tempoh yang sama.
“Perkhidmatan ini merupakan tambahan kepada perkhidmatan sedia ada, perkhidmatan khas ini tidak termasuk dengan premis komersial.
“Sekiranya orang ramai berhasrat membuang sampah pukal dalam kuantiti yang banyak, anda dinasihatkan untuk menghubungi Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP di talian 04-2633000.
“Sekiranya tarikh hari raya jatuh pada 20 Mac 2026, perkhidmatan tambahan sampah pukal ini akan berakhir pada 19 Mac 2026,” ujarnya dalam satu sidang media dekat Bilik Mesyuarat Perdana MBPP, Komtar di sini pagi tadi.
Mengulas lanjut, Rohaizat memberitahu MBPP amat tegas terhadap mana-mana anggota atau kontraktor untuk meminta atau menerima sebarang bayaran duit raya semasa menjalankan perkhidmatan pungutan sampah dan pembersihan.
“Sekiranya, terdapat insiden sedemikian, sila hubungi talian hotline MBPP, 04-2637637 (24 jam),” tegasnya lagi.
Sementara itu Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang menyeru orang ramai memanfaatkan 45 tong merah jambu disediakan MBPP untuk kitar semula pakaian lama sempena perayaan.
“Selalunya orang ramai akan buang baju lama, jadi kita (MBPP) minta orang ramai gunakan tong-tong merah jambu seluruh pulau untuk kitar semula pakaian-pakaian lama.