Laluan alternatif bakal atasi kesesakan

Admin

 

GEORGE TOWN – Masalah kesesakan lalulintas di Georgetown merupakan antara isu yang perlu diatasi dengan kadar segera. Bukan sahaja di Pulau Pinang, malah masyarakat dunia turut berdepan dengan masalah kesesakan lalulintas terutama ketika waktu puncak setiap Isnin hingga Jumaat. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mengatasinya, antaranya mengadakan kempen menaiki kenderaan awam, kempen berkongsi kereta dan mengadakan laluan alternatif.

Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri mendapati bahawa mod pengangkutan awam yang pelbagai telah memainkan peranan penting dalam membangunkan laluan alternatif dan kawasan sekitarnya. Oleh yang demikian, Majlis Pengangkutan Negeri (Penang Transport Council – PSC) yang ditubuhkan pada 2009 telah mengadakan kajian Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang holistik meliputi penilaian terhadap mod pengangkutan awam sedia ada dan keperluan masa hadapan agar mutu dan keberkesanan sistem pengangkutan dapat ditingkatkan.

Secara umum, PIP memfokuskan isu-isu strategik iaitu penyelesaian masalah kesesakan, penambahbaikan sistem pengangkutan awam tempatan dan mengintegrasikan sistem pengangkutan awam secara cekap dan berkesan. PIP telah disediakan untuk tempoh 20 tahun antara tahun 2010 sehingga 2030 selepas 11 bulan penyediaan kajian dan pelaksanaan dijangkakan pada 2012.

Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM1.7 juta dari jumlah keseluruhan RM3.2 juta. Manakala sejumlah RM1.5 juta akan dibiayai oleh Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) dalam usahasama Kerajaan Negeri dengan NCIA dalam menerapkan kajian kemungkinan pengangkutan air yang terperinci dalam PIP.

PIP juga akan mengkaji dua cadangan pembinaan laluan alternatif dan terowong bagi menghubungkan kawasan kesesakan dari Jalan Pangkor (Gurney Drive) ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan dari Lebuhraya Thean Teik ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu. Anggaran kos adalah sebanyak RM4 billion setelah mengambil kira harga tanah di Pulau Pinang yang terhad dan kos pengambilan yang tinggi.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, menegaskan bahawa, Kerajaan Negeri sememangnya prihatin tentang keperluan rakyat Pulau Pinang. Walaupun Pulau Pinang mempunyai tanah yang terhad, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk membendung dan mengatasi masalah lalulintas yang semakin meruncing.

Kerajaan Negeri buat julung kalinya telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma kepada warga Pulau Pinang yang berulang-alik dari Butterworth ke kawasan pulau, iaitu perkhidmatan BEST – ’Bridge Express Shuttle Transit’ melalui projek ’Park & Ride’,” ujar beliau.

Sebanyak 16 buah bas telah disediakan oleh Rapid Penang dengan peruntukan dana oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM1.05 juta dan BEST merupakan salah satu komitmen dalam usaha mengurangkan jumlah kenderaan di bahagian pulau terutama ketika waktu puncak,” tambah beliau.

Hadir sama pada sidang media tersebut Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P.Ramasamy, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, perunding PIP iaitu AJC Consultants Sdn. Bhd., wakil Singapore Cruise Centre (SCC), dan Halcrow.