PPWE turut disambut baik BN

Admin

 

SUNGAI DUA – Siapa sangka, Program Penghargaan Warga Emas (PPWE) yang sering menjadi isu manipulasi pihak pembangkang kini disambut baik oleh UMNO-BN.

Perkara tersebut terbukti apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed sendiri menandatangani borang permohonan PPWE Negeri Pulau Pinang yang bernombor siri 4038173.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu bahawa tindakan ADUN Sungai Dua tersebut membuktikan bahawa UMNO-BN juga telah menerima baik PPWE yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Kita (Kerajaan PR) tidak kisah siapa yang tandatangani atau buat permohonan sebab kita akan membuat bayaran seperti biasa.

Malah, sekiranya, Datuk Azhar Ibrahim, Tan Sri Koh Tsu Koon dan Datuk Dr. Teng Hock Nan pohon pun, kita juga akan bayar juga,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Guan Eng berkata, PPWE dapat dijalankan ekoran prinsip Kerajaan PR yang bersih dan tidak makan duit.

Kalau kerajaan bersih, kerajaan tidak makan duit, rakyat akan dapat duit. Jika kerajaan makan wang, rakyat tidak dapat wang,’’ tegas beliau.

Sementara itu, hasil tinjauan Buletin Mutiara di Maybank i-Avenue, Bukit Jambul, sepasang suami isteri dari Permatang Damar Laut, Mohamad Ibrahim, 82 dan isteri Combi Ahmad, 70 datang seawal jam 7.20 pagi menunggu giliran untuk menerima sumbangan.

Alhamdulillah, makcik dan pakcik dah dua tahun terima sumbangan ni,” ujar Combi.

Makcik tinggal berdua dengan pakcik, anak-anak semua sudah kahwin. Memang anak-anak ada bagi duit, tapi makcik rasa RM100 ni sangat bermakna,” tambah Combi lagi.

Menurut wakil Maybank i-Avenue, seramai 4,300 penerima telah didaftarkan berbanding tahun lalu sekitar 2,586 penerima sahaja. Jumlah tersebut merangkumi kawasan DUN Batu Maung dan Bayan Lepas.

Sementara itu, tinjauan di Maybank Gelugor, Ketua Menteri sempat meluangkan masa selama 30 minit bersama pihak pengurusan Maybank dan warga emas yang hadir.

Saya gembira dapat tengok CM (Ketua Menteri) dari dekat. Terima kasih CM,” ujar Amrita, 72 apabila buat pertama kalinya bertemu dengan Ketua Menteri.

Manakala Siti Maimunah Salleh, 68 merasa teruja apabila dimaklumkan Ketua Menteri sudi meluangkan masa bersama warga emas.

Memang gembira. Jadi orang-orang BN tak payah tuduh yang bukan-bukan. Ni bukan wang haram. Kalau wang haram mustahil Kerajaan Negeri mampu bagi setiap tahun kepada semua warga emas,” tambah Maimunah.

Beliau yang datang bersama anak dan cucu turut berkesempatan berjumpa dengan ADUN Batu Uban, Raveentharan a/l V. Subramaniam memohon bantuan bagi suaminya yang buta dan dua orang anaknya yang kelainan upaya (OKU).

Dalam pada itu, ADUN Batu Uban tersebut menyatakan sejumlah 1,500 telah mula membanjiri perkarangan Maybank seawal jam 8 pagi dan menjangkakan seramai 7000 warga emas akan datang untuk menerima sumbangan tersebut sehingga 20 Mei 2011.

Guan Eng turut meluangkan masa selama dua hari melawat beberapa cawangan Maybank sekitar Air Itam, Sungai Pinang, Butterworth, Sungai Dua, Bukit Mertajam dan Nibong Tebal.