Lampu isyarat pejalan kaki dua kawasan sesak demi keselamatan

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI

PULAU TIKUS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengambil inisiatif memasang lampu isyarat pejalan kaki di dua kawasan sesak di sini baru-baru ini.

Pemasangan lampu isyarat pejalan kaki di Jalan Kelawai, iaitu berhadapan dengan pusat membeli-belah Plaza Gurney, Jalan Kelawai dan di hadapan Kompleks Axis, Jalan Cantonment dilihat sebagai langkah keselamatan terhadap kumpulan pejalan kaki di sini.

“Kita amat berharap dengan inisiatif ini, pengguna jalan raya khususnya kenderaan bermotor lebih memberi perhatian dan menghormati pejalan kaki.

“Pengguna jalan raya perlu sedar bahawa pejalan kaki adalah kumpulan yang sentiasa terdedah kepada bahaya dan perlu diberi keutamaan kerana mereka sentiasa cenderung menghadapi risiko kematian mahupun kecederaan,” katanya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis MPPP, Muhammad Sabri Md. Osman dan Ir. Zainuddin Mohd. Shariff (Jurutera Lalulintas MPPP).

Jelas Soo Huey, pemasangan lampu isyarat pejalan kaki oleh MPPP di sini adalah menggunakan sistem kiraan detik berdigital yang membolehkan pejalan kaki mengetahui tempoh menunggu di lintasan pejalan kaki.

“Penggunaan sistem kiraan detik berdigital ini adalah yang pertama di Pulau Pinang dan saya percaya, sistem ini boleh diimplimentasikan di seluruh Pulau Pinang demi keselamatan semua pihak,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Muhammad Sabri, kiraan jumlah pejalan kaki oleh Jabatan Kejuruteraan Lalulintas MPPP di hadapan Plaza Gurney (Jalan Kelawai) menunjukkan bilangan yang tinggi antara jam 9 pagi hingga 10 pagi iaitu 103 pengguna, jam 12 tengahari hingga 1 petang (195) dan 6 petang hingga 7 malam (136).

“Begitu juga di Jalan Cantonment, terutamanya sekitar jam 8 pagi hingga 10 pagi iaitu seramai 571 orang,’’ jelas beliau.

Tambahnya, pemasangan lampu isyarat pejalan kaki di kedua-dua kawasan tersebut menelan kos sebanyak RM142,783.50 termasuk kos mengecat garisan jalan, pemasangan papan tanda amaran dan penyelarasan sistem lampu isyarat utama sedia ada.