Pesakit derita ‘kaki gajah’ rayu sumbangan

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SHUM JIAN WEI

SUNGAI PINANG – Shamsudin Ismail yang menderita penyakit ‘filariasis limfatik’ atau lebih dikenali sebagai ‘kaki gajah’ merayu sumbangan orang ramai bagi meringankan bebanan ditanggungnya untuk mendapat rawatan susulan.

Shamsudin yang kini tinggal di Taman Serina di sini berkata, penyakitnya semakin kritikal apabila ia mula merebak hingga ke kerandut zakar (scrotum) dan lebih banyak menghabiskan masa di atas katil.

Lebih malang, bapa kepada dua cahaya mata yang masih bersekolah tersebut memberitahu, beliau turut disahkan mengalamai komplikasi buah pinggang serta perlu menjalani rawatan dialisis.

“Buat masa ini, perbelanjaan harian kami sekeluarga bergantung kepada bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) iaitu sebanyak RM270 sebulan dan bantuan dari Pusat Urus Zakat (PUZ) sebanyak RM600 setahun.

“Memang tak cukup dengan kos rawatan dan ubatan, saya harap ada yang sudi membantu memandangkan saya sekarang ni memang susah nak gerak,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di kediamannya di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim tampil menyampaikan sumbangan berjumlah RM500 dan makanan asasi kepada Shamsudin.

Turut sama, Penghulu Parlimen Jelutong, Khalid Zakaria dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan  dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bandar Baru Jelutong, Tan Poh Hooi.

Siew Khim dalam pada itu turut menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga Shamsudin dan akan membantu mereka mencari dana untuk rawatan untut dan dialisis beliau.

Katanya, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan dan mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Khidmat ADUN Sungai Pinang di talian 04 – 282 6630