Lampu isyarat persimpangan Jalan Mount Erskine – Persiaran Halia 3 kini beroperasi – MP Bukit Bendera

Admin

PULAU TIKUS – Pemasangan lampu isyarat di persimpangan Jalan Mount Erskine dan Persiaran Halia 3 menuju ke Pasar Mount Erskine dan kawasan perumahan bertingkat berhampiran bakal memberi kelegaan kepada orang ramai yang sering menggunakan laluan tersebut.

 

WONG Hon Wai.

Ahli Parlimen (MP) Bukit Bendera, Wong Hon Wai berkata, pemasangan lampu isyarat itu akan memudahkan orang ramai terutamanya mereka yang berkunjung ke Pasar Mount Erskine atau ke kawasan kejiranan berhampiran.

 

“Selain itu, ia memudahkan pengunjung Pasar Mount Erskine yang berjalan kaki untuk menyeberangi ke laluan bertentangan,” ujarnya pada sidang media yang diadakan sejurus menyempurnakan pengoperasian lampu isyarat dengan memetik suiz utama dekat sini, pagi ini.

 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Connie Tan Hooi Peng; Jurutera Kanan Lalu Lintas dan Pengangkutan Awam MBPP, Zainuddin Mohamad Shariff; Ketua Jurutera Elektrik Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir. Mohd. Muzhar Ahmad Tajuddin serta beberapa wakil daripada JKR Daerah Timur Laut.

 

Mengulas lanjut, Hon Wai memaklumkan bahawa sejak 2019 lagi beliau telah menerima maklum balas dan aduan daripada orang awam yang menghadapi kesukaran untuk memasuki ke Persiaran Halia 3.

 

Saya harap ini (pemasangan lampu isyarat) bukan sahaja menyelesaikan masalah pengguna jalan raya tetapi juga memberi kemudahan kepada peniaga, pengunjung pasar dan penghuni di kawasan kejiranan berhampiran.

 

“Kerja-kerja pemasangan lampu isyarat ini bermula pada Ogos lalu dan siap sepenuhnya pada 30 November 2020, dan hari ini (21 Disember 2020) ia beroperasi sepenuhnya di bawah pengawasan pihak berkaitan demi melancarkan perjalanan pengguna jalan raya.

 

LAMPU isyarat di persimpangan Jalan Mount Erskine dan Persiaran Halia 3 memberi kemudahan untuk pengguna dan juga peniaga di pasar berdekatan.

 

“Daripada segi kos pula, ia merangkumi kerja-kerja pemasangan lampu isyarat termasuk membangunkan sistem isyarat, menurap dan menanda semula jalan serta kerja-kerja kemasan iaitu RM243,000,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, Chun Kit ketika ditemui memberitahu bahawa lampu isyarat tersebut amat penting bukan sahaja bagi melancarkan perjalanan trafik di kawasan tersebut, tetapi juga demi keselamatan pengguna jalan raya.

 

“Saya harap pengguna jalan raya dapat mematuhi papan tanda serta lampu isyarat yang dipasang ini dan sentiasa mengutamakan keselamatan,” katanya.

 

Difahamkan, pemasangan lampu isyarat tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 5,000 penghuni kejiranan baharu di Persiaran Halia 3 serta pengguna jalan raya yang melalui Jalan Mount Erskine menuju ke Tanjung Bunga.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN