Lapor kepada MBPP jika terdapat halangan pada parkir

Admin

PADANG KOTA – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang mengingatkan orang ramai untuk merancang perjalanan bagi mengelakkan isu kekurangan parkir ekoran kebanjiran kenderaan di kawasan pulau kebelakangan ini.

 

 

Jelasnya, masalah kekurangan tempat letak kenderaan bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang bahkan di bandar-bandar lain di negara ini.

 

 

“Bagi mengelakkan isu tersebut, orang ramai boleh menggunakan kenderaan awam mahupun menumpang kenderaan untuk ke satu destinasi yang berdekatan.

 

 

“Selain itu kita di Pulau Pinang sudah menggunakan aplikasi Penang Smart Parking (PSP) yang dapat membantu pemandu mencari parkir yang paling hampir dengan lokasi yang ingin kita tuju.

 

 

“Pihak majlis dalam pada itu turut bekerjasam dengan beberapa pemilik parkir swasta bertingkat seperti di pusat beli belah dalam menangani isu ini,” ujar Tung Seang dalam satu sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 07 bagi Tahun 2022.

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Ir. A. Rajenderan dan Ahli-ahli Majlis bagi MBPP.

 

 

Mengulas lanjut, tambahnya, MBPP turut bekerjasama dengan pihak swasta mengkaji jumlah kenderaan di kawasan pulau dalam menyelesaikan isu tersebut.

 

 

“Pada musim perayaan atau cuti panjang, difahamkan lebih 750,000 kenderaan memasuki pulau, ditambah pula dengan kenderaan sedia ada maka jumlah keseluruhan melebihi satu juta,” jelas beliau lagi.

 

 

Dalam sidang media sama, Tung Seang turut ditanya mengenai halangan menggunakan objek di parkir awam mahupun perumahan yang turut menjadi isu kebelakangan ini.

 

 

“Sekiranya berdepan situasi (halangan parkir) tersebut, saya nasihatkan buat laporan kepada MBPP, warden trafik akan mengambil tindakan mengubah objek tersebut dan bukannya mengalihkan sendiri.

 

 

“Kita faham mungkin ada yang boleh ambil tindakan mengubah sendiri namun kita tidak mahu sebarang ketegangan berlaku antara orang awam dan pelaku, jadi lebih selamat lapor kepada MBPP.

 

“Kita akui memang ada sesetengah pemilik kedai ada kebenaran tertentu contohnya seperti kedai tayar, bengkel dan kedai-kedai berkaitan,” katanya.

 

Laporan boleh diajukan melalui talian 04-263 7637/04-263 7000, melalui WhatsApp, 016-2004082 atau emel kepada [email protected].

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

 

 

 

.