Latihan industri penting demi lahirkan tenaga kerja mahir seiring IR4.0, kata TKMI

Admin

TELUK AIR TAWAR – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberikan tumpuan serius terhadap pembangunan industri yang menjadi antara penyumbang utama terhadap sektor ekonomi negeri ini.

Beliau berkata, sejak tahun 70-an, industri elektrik dan elektronik (E&E) memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Pulau Pinang yang menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini dan kawasan sekitarnya.

“Sebagai Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio Pembangunan Industri saya cuba memahami keperluan industri dari bawah sehingga pemain-pemain industri.

“Tambahan pula, pada masa ini semuanya sedang bergerak ke arah IR4.0 (Revolusi Industri 4.0) yang memerlukan persediaan rapi untuk memberi cabaran kepada negara-negara lain yang sama-sama bergerak ke arah ini.

Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (tengah) bergambar kenang-kenangan bersama barisan jemputan khas pada majlis berbuka puasa sempena lawatan beliau ke Kolej Vokasional Butterworth.

 

 

 

 

 

 

 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri sangat menekankan aspek persediaan latihan agar tenaga kerja yang dilahirkan dapat menepati keperluan industri di negara ini,” katanya semasa berucap pada majlis berbuka puasa sempena lawatan beliau ke Kolej Vokasional Butterworth, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad; Pengarah Bahagian Pendidikan & Latihan Teknik Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Zainuren Mohd. Nor; Timbalan Pengarah Pembangunan Kejuruteraan Pendidikan Teknik Vokasional Bahagian Pendidikan & Latihan, Norhana Mustafa dan Pengarah Kolej Kolej Vokasional Butterworth Ahmad Zawawi Mohd. Ali.

Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin turut meluangkan masa melawat bengkel-bengkel di kolej berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zawawi yang turut berucap sebelum itu berkata bahawa bantuan Kerajaan Negeri amat penting dalam merancakkan pembangunan Pendidikan dan Latihan Tenikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

“Kita yakin selaku Exco yang terlibat dengan pembangunan industri, Dato’ (Ahmad Zakiyuddin) akan membantu dan memainkan peranan penting untuk kecemerlangan kolej vokasional khususnya di Pulau Pinang,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS