Pulau Pinang lancar projek pertama perintis Smart Bus Stop

Admin

SEBERANG JAYA – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo melancarkan projek perintis Smart Bus Stop pertama di negeri Pulau Pinang pada 13 Mei lalu.

Projek ini merupakan usahasama Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Syarikat edotco Malaysia Sdn. Bhd.

“Projek Smart Bus Stop ini sememangnya selari dengan hasrat YAB Ketua Menteri dalam wawasan Penang2030 yang mengintegrasikan perkhidmatan perbandaran dengan teknologi Pintar.

“Projek ini menggabungkan pelbagai elemen seperti kamera litar tertutup (CCTV) dengan ciri analitis, penggunaan tenaga solar, struktur telekomunikasi, papan iklan digital, pengecas telefon bimbit, butang kecemasan, papan pemakluman waktu ketibaan bas melalui Bus Integrated System (BIS) yang dimiliki oleh Rapid Penang.

“Oleh itu, kita akan melihat lebih banyak pondok perhentian bas yang akan dilengkapi dengan ciri-ciri seperti ini supaya aspek keselamatan rakyat Pulau Pinang khususnya yang menggunakan pegangkutan awam dapat ditingkatkan,” katanya semasa merasmikan projek berkenaan di Lengkok Tenggiri, Seberang Jaya baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya; Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Nur ‘Aishah Md. Norodin.

Turut serta, Ketua Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Utara, Rizal Malek dan Pengarah Urusan edotco Sdn. Bhd., Wan Zainal Adileen Wan Puteh.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu projek ini merupakan salah satu projek pembangunan ke arah merealisasikan perancangan ruang yang berkesan untuk kegunaan awam selain menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam di negeri ini.

“Pemasangan CCTV dan panic button di Smart Bus Stop ini adalah ciri-ciri penting yang menitikberatkan aspek keselamatan pengguna awam malah kedua-dua elemen tersebut disambung terus kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau keselamatan orang ramai.

“Ini berikutan kerana terdapat penduduk kawasan sini yang bekerja di industri-industri hingga lewat malam dan terpaksa bergantung dengan pengangkutan awam,” jelasnya lagi.

Rozali ketika berucap menyatakan reka bentuk Smart Bus Stop adalah inovasi baru yang bukan sahaja berfungsi sebagai tempat mengambil dan menurunkan penumpang, malah berupaya menyediakan kemudahan berteknologi tinggi untuk keselamatan dan keselesaan pengguna.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN

Gambar: SITI NABILAH NOORAZIS