Lawan anasir perosak keselamatan & keharmonian negeri – KM

O l e h : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Satu laporan polis dibuat baru-baru ini berhubung isu ‘Cina Lontar Daging Babi Depan Masjid Bukit Mertajam’ yang disebarkan di laman sosial Facebook.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang turut diheret ke dalam laman kontroversi itu merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan polis supaya segera mencari jalan untuk menghentikan cubaan pihak tertentu daripada terus menggugat ketenteraman awam di negara ini.

“Kalau bukan kepada saya pun, provokasi ini ditujukan kepada kaum Cina untuk membangkitkan sentimen perkauman yang jahat,” ujarnya dalam kenyataan bersama-sama Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari di perkarangan luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT), di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon, P. David Marshel (Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) dan Jab Samat (wakil penduduk Masjid Qaryah Tok Jun Atas) turut hadir pada sidang media tersebut.

Chee Keong pada sidang media sama turut mendedahkan kronologi insiden yang didakwa bukan isu terpencil, tetapi dipercayai didalangi  penyokong  sebuah pertubuhan demi menggugat keharmonian kaum di negeri ini.

“Ini (kes balingan daging babi ke dalam Masjid Tok Kun Atas) bukan kes terpencil, tapi, seperti satu suatu konspirasi untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berdasarkan beberapa kes provokasi lain yang dilakukan,” tegas beliau.

Khai Loon pula dalam kenyataannya memohon rakyat terus bertenang serta tidak terpengaruh oleh siri-siri provokasi belakangan ini.

“Saya mohon rakyat untuk terus bertenang dan beri peluang kepada polis untuk menangani isu provokasi ini,” katanya sambil mengharapkan respon daripada Najib. Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan lain mengajak seluruh rakyat melawan anasir perosak
keselamatan dan keharmonian dalam negeri ini, yang baginya tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian cemerlang Kerajaan Negeri sejak tahun 2008.

“Marilah kita bersama melawan anasir perosak yang mendalangi penodaan Masjid Tok Kun Atas di Bukit Mertajam dengan meraikan keunikan dan perbezaan kita bagi mengekalkan keharmonian sosial dan keamanan,” nyata beliau kepada para wartawan semasa melawat Masjid Qaryah Tok Kun Atas di sini baru-baru ini.