Laluan basikal baru janji panorama pantai

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


BAYAN BARU – Laluan basikal yang dinaiktaraf sepanjang 660 meter di persisiran pantai Queensbay di sini bakal menjadi lokasi riadah dan aktiviti berbasikal baru buat para pengunjung serta pencinta aktiviti sukan berkenaan di negeri ini.

Nada tersebut disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak yang juga Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon pada Majlis Penyerahan Laluan Basikal Khas Persisiran Pantai yang telah siap sepenuhnya hasil sumbangan pemaju, Asia Green Group menerusi projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya di sini baru-baru ini.

Mohd. Rashid berkata, laluan basikal berhampiran kawasan pantai tersebut adalah amat bersesuaian dan bertepatan dengan gaya hidup sihat yang dilaunglaungkan Kerajaan Negeri sekian lamanya.

“Kawasan persisir pantai ini amat sesuai dijadikan laluan basikal dan tempat riadah penduduk setempat mahupun pelancong kerana ianya berdekatan dengan kawasan pantai.

“Malahan, lebih unik dan istimewanya adalah apabila ianya terletak di tengah-tengah antara dua jambatan yang menjadi ikon negeri Pulau Pinang iaitu Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Laluan Basikal Khas di Persisiran Pantai Queensbay oleh Asia Green Group kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini di sini.

Turut hadir, Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail, Pengurus Besar Asia Green Group, Tan Boon Huat, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Ahli-ahli Majlis MPPP.

Dalam pada itu, Patahiyah berkata, projek sumbangan CSR tersebut merupakan sebahagian daripada projek utama laluan basikal yang telah dirancang di dalam Pelan Utama Kerajaan Negeri menghubungkan persisiran pantai Queensbay hingga ke kawasan bandar George Town.

“Ini merupakan sebahagian daripada projek yang telah dirancang.

“Pihak MPPP telah memperuntukkan sejumlah RM913,588 keseluruhannya bagi menaiktaraf sepanjang 12.72 kilometer laluan berbasikal di negeri ini,” jelas beliau.