Pulih segera Ringgit Malaysia, syor KM

PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan supaya segera memulihkan Ringgit Malaysia (RM), selain, mencari jalan untuk mengelak kenaikan kos sara hidup yang nyata kian membebankan rakyat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa mengulas mengenai mata wang negara yang mengalami kejatuhan paling rendah dalam tempoh 15 tahun, iaitu menyusut sehingga nilai RM2.586 berbanding dolar Singapura.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri atas bidang kuasanya hanya mampu menyediakan beberapa program sumbangan emas demi mengurangkan lagi beban kos sara hidup rakyat yang berpunca oleh kenaikan harga minyak petrol serta barang keperluan asasi lain.

RM100 untuk warga emas, pelajar, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU), RM200 untuk bayi baru lahir serta RM1,000 untuk waris  warga emas meninggal antara program sumbangan emas yang diwujudkan Kerajaan Negeri hingga sekarang.

“Walaupun macam mana susah sekalipun, Kerajaan Negeri beri jaminan tidak akan menaikkan cukai (pintu dan tanah) serta meneruskan program sumbangan emas.

“Kita tahu harga pretrol dan barang semuanya naik, yang turun hanya RM sahaja,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai dekat Padang JKKK Taman Inderawasih di sini baru-baru ini.

Dua Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), P. David Marshel dan M. Satees turut hadir pada majlis keraian anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Inderawasih berkenaan.

Pelbagai persembahan pentas serta tarian kebudayaan diadakan pada majlis tersebut.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, pihaknya berharap kelemahan pada tadbir urus Putrajaya yang nyata membebankan rakyat belakangan ini diharap dapat membuka mata semua pihak.

Terdahulu, satu laporan media yang dipetik memberitahu, ringgit jatuh sebanyak 5.5 peratus berbanding dolar Singapura.

Laporan agensi Bloomberg pada 30 Julai tahun lepas antaranya mendedahkan, sebanyak 33 peratus hutang Malaysia kepada pihak asing, dikatakan bernilai US$2.9 bilion mencapai tempoh matang semasa itu, hinggakan menjadi antara punca keadaan pasaran tidak menentu.

Justeru, Guan Eng memberitahu, sudah sampai masanya untuk Pakatan Rakyat (PR) sendiri mengkaji punca-punca kejatuhan RM serta mengemukakan syor kepada Putrajaya demi kepentingan rakyat, sekarang.