Lawatan pastikan infra rakyat berfungsi

Admin

SERI DELIMA – Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N Rayer telah mengadakan lawatan dan pemeriksaan jalanraya serta longkang di sekitar Island Glades di sini bagi memastikan ianya dalam keadaan baik dan diselenggara sempurna.

Turut serta, kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Island Glades.

Hasil pemeriksaan, beliau memberitahu bahawa terdapat beberapa kawasan yang perlu diturap dengan tar dan diselenggara semula.

“Malah, ada beberapa saliran air, longkang dan parit yang perlu dipasang dengan jerangkap sampah memandangkan terdapat sampah sarap tersangkut sehingga menyebabkan ianya tersumbat,” katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Rayer turut berterima kasih kepada MPPP selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) yang aktif dan sering ambil peduli akan setiap aduan rakyat.

“MPPP telah melaksanakan tanggungjawab awam dengan sempurna dalam memastikan keselesaan dan kelestarian hidup penduduk setempat,” ujarnya.