Pasar Basah Chowrasta dinaiktaraf

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWNKerja-kerja menaiktaraf Pasar Basah Chowrasta berusia 52 tahun (ditubuhkan pada 1961) yang menjadi ikon ‘Central Business District’ di sini telah bermula.

Pelaksanaan tersebut adalah hasil kesungguhan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) dalam mempromosikan bangunan warisan dan bagi memberi keselesaan kepada para peniaga di pasar yang sebelum ini tidak pernah dinaiktaraf sejak ditubuhkan pada 1961.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar yang kini merupakan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik berkata, mengikut pelan rancangan dikemukakan, bahagian belakang bangunan tersebut akan terlebih dahulu diroboh bagi tujuan pembinaan ruang parkir.

“Manakala, pada bahagian tengah, ia bakal menjadi sebuah pusat pemindahan sementara, bahagian Jalan Tamil (bahagian tidak halal – penjualan daging khinzir).

“Secara keseluruhan, MPPP akan memberi notis kepada semua peniaga apabila tiba masa mereka perlu berpindah,’’ katanya pada Sesi Dialog Bersama Para Peniaga Pasar Basah Chowrasta di sini baru-baru ini.

Projek dimenangi pembida, Bertegas Makhbul Sdn. Bhd. dengan nilai kontrak berjumlah RM12,190,206.40 adalah dipilih melalui tender terbuka Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Pelan penaiktarafan adalah membabitkan 123 petak parkir termasuk dua petak khas untuk kegunaan golongan orang kurang upaya (OKU). Turut disediakan adalah 235 petak gerai di tingkat bawah dan tingkat satu (60).

Menurut Wei Aik, setelah proses pemindahan peniaga selesai, pihak kontraktor bakal menaikkan penampan setinggi tiga tingkat bagi mengelakkan segala sisa bahan binaan terkeluar dari tapak projek dan menggangu orang awam.

“Serentak itu, peniaga buku terpakai di tingkat satu pula akan dipindahkan berhampiran sebuah kedai kopi di tingkat sama,” jelasnya.

Dalam pada itu, dalam sesi dialog tersebut, Wei Aik menyatakan bahawa para peniaga perlu mematuhi beberapa kriteria bagi mendapatkan keutamaan penetapan lokasi lot-lot kedai di dalam bangunan tersebut.

“Antara kriterianya adalah menjalankan perniagaan melebihi lima tahun; menjalankan perniagaan dalam tempoh tidak kurang 20 hari sebulan dan tidak menyewakan lot kedai diperoleh kepada pihak ketiga.

“Jika sebelum ini walaupun anda (peniaga) ada diberikan tag nama, ia masih belum memberi jaminan kerana terdapat kriteriakriteria tertentu perlu diambilkira,’’ ujar beliau.

Turut dimaklumkan Wei Aik adalah penutupan Jalan Chowrasta berkuatkuasa selama setahun dari 1 April lalu hingga 1 April 2014. Laluan tersebut hanya dibuka kepada penggunan motorsikal dan basikal sahaja.