Lebih 100 program mengisi FGT

GEORGE TOWN – Festival George Town2014 (FGT) kembali dengan pengisian lebih 100 program serta persembahan membabitkan bakat tempatan dan antarabangsa sepanjang bulan ini (Ogos)!

Pengarahnya, Joe Sidek berkata, FGT yang berlangsung selama sebulan akan dipenuhi dengan pelbagai pameran, pesta jalanan, persembahan tarian dan drama, malah, turut didatangkan khas adalah persembahan bertaraf dunia dari Eropah, Korea, India, Jepun dan Singapura.

“Festival tahun ini sekali lagi akan memberi penekanan sama kepada persembahan artis dan bakat tempatan seluruh Malaysia.

“Istimewanya, kita bawakan drama khas diilhamkan khusus untuk festival ini iaitu Hai Ki Xin Lor (Kaulah Dunia Ku) – sebuah drama dialek Hokkien hasil suntingan pengarah terkenal negara, Saw Teong Hin yang juga merupakan pengarah filem terkenal, Puteri Gunung Ledang.

“Hai Ki Xin Lor akan dipentaskan di Khoo Kongsi yang mengisahkan sejarah hidup sebuah keluarga di Pulau Pinang.

“Selain itu, warna-warni budaya Pulau Pinang turut akan digambarkan melalui pelbagai persembahan seperti tarian Melayu-Jawa, Kuda Kepang; boria Jawi-Peranakan (Boria Fest); makanan dan muzik Serani (Eurasian Fiesta); tanglung bintang Melayu (Projek Cahaya) dan beberapa siri pameran serta konsert yang dipersembahkan di beberapa kopitiam klasik Pulau Pinang,” ujarnya pada sidang media pengumuman penganjuran FGT di Komtar di sini baru-baru ini.

Daya tarikan FGT yang unik setiap tahun bukan sahaja menggamit lebih 200,000 pelawat antarabangsa ke Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, malah, turut memperoleh sanjungan daripada badan kebudayaan terkenal termasuk Asia- Europe Foundation (ASEF) dan Persatuan Pembuat Filem.

Turut tersenarai adalah persembahan antarabangsa Circus Circus, tarian Jepun – Wrecking Crew Orchestra, pertunjukkan akrobatik Finland, Thailand serta China dan pementasan julung kali di Asia yang mengabungkan muzik, drama dan masakan dalam satu persembahan, The Kitchen.

Bagi yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut, sila layari laman sesawang, www.georgetownfestival.com.