Legasi hidup lambang warisan bandar Legasi hidup lambang warisan bandar George Town

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Sambutan ulang tahun ke-enam pengisytiharan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai setiap tahun membawa masyarakat Pulau Pinang khususnya dan luar amnya menyelusuri keindahan dan keunikan bandar tersebut sebagai satu warisan budaya yang masih jitu hidup berdiri di sini.

Bersesuaian dengan tema sambutan tahun ini, ‘Legasi Hidup’. Keistimewaan seni bina kolonial, warisan deretan rumah kedai, kepelbagaian seni bina, agama, etnik kaum, tarian, pakaian dan makanan melengkapkan keunikan bandar George Town sebagai suatu lagenda yang terus hidup!

Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Lim Chooi Ping berkata, keunikan warisan yang terus hidup hingga kini melambangkan kesungguhan usaha Kerajaan Negeri dalam mengekalkan elemen tersebut.

“Setiap keunikan yang masih wujud di bandar ini melambangkan tekad, hasrat dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam melindungi, mengekal serta memulihara warisan agar ia terus kekal dan menjadi suatu tamadun warisan.

“Tiga nilai utama yang saling bergandingan iaitu sejarah perkembangan, keunikan kepelbagaian budaya dan bangunan sekeliling yang estetika menjadikannya suatu aset warisan budaya George Town yang perlu dipelihara dari generasi ke generasi,” ujarnya pada ucapan pembukaan Sambutan Ulang Tahun Ke-Enam George Town Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hadir menyempurnakan majlis perasmian berkenaan.

Turut menemani, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Ar. Patahiyah Ismail.

Bersempena itu, satu perarakan kayuhan basikal diadakan bermula di Dewan Bandaran dan singgah di beberapa bangunan warisan seperti Masjid Melayu Lebuh Acheh, Church of the Assumption dan Sri Mahamariaman Temple sebelum berakhir di Masjid Kapitan Keling.

Terdahulu, pada majlis perasmian, Guan Eng turut melancarkan buku Georgetown Our Stories.

Guan Eng dalam ucapannya berkata, sesungguhnya melalui acara-acara perayaan warisan sedemikian akan mempereratkan hubungan dan mengukuhkan persefahaman budaya pelbagai suku kaum serta etnik di Pulau Pinang.