Maimunah, Rozali terajui MBPP, MPSP

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF & ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) baharu, manakala, Sr. Rozali Mohamud, Yang diPertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berkuatkuasa 1 Julai 2017.

Turut dilantik, Ir. Rosnani Mahmud sebagai Setiausaha Perbandaran MPSP yang baharu.

Sejurus majlis rasmi pelantikan, ketiga-tiga individu berkaitan berikrar akan terus menerajui MBPP dan MPSP berlandaskan visi negeri Pulau Pinang.

Maimunah memberitahu, beliau berikrar akan membawa MBPP ke arah menjadikan negeri ini sebuah bandar yang lebih bersih dan pintar.

Bagi menjayakan hasrat tersebut, beliau menyatakan bahawa terlebih dahulu perlu melihat kepada beberapa perkara sebelum boleh melaksana dan melakukan penambahbaikan terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan.

“Untuk menjalankan tugas ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah bandar yang bersih, hijau, sihat dan selamat, saya perlu melihat kepada penyampaian perkhidmatan yang terdapat di MBPP, proses-proses untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan serta (melihat) kepada Tatacara Operasi Standard (SOP) sedia ada.

“Malah, bagaimana proses menjalankan perkhidmatan dan pembuatan keputusan juga perlu diteliti.

“Juga… impian Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar raya pintar adalah memerlukan kerjasama daripada semua pihak sebagai satu pasukan.

“Saya akan melihat bagaimana saya boleh merancang dan merangka visi ke arah matlamat tersebut,” jelasnya ketika diajukan soalan berkenaan visinya sebagai Datuk Bandar baharu di sini baru-baru ini.

Penyerahan watikah pelantikan berkenaan disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Hadir sama menyaksikan Upacara Pengakuan Menerima Jawatan Sebagai Datuk Bandar MBPP ialah Yang di-Pertua (YDP) Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang, Timbalan Ketua Menteri I dan Timbalan Ketua Menteri II, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus.

Maimunah yang sebelum ini merupakan YDP MPSP bukanlah seorang yang asing di dalam pentadbiran MBPP, kerana beliau merupakan bekas Pegawai Perancangan Bandar dan Desa MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) pada tahun 1985 hingga 2003 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Perancangan Pembangunan MPPP (2003) dan Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated (GTWHI).

Dalam pada itu, Guan Eng dalam ucapannya yakin bahawa dengan pengalaman luas, pencapaian dan pengiktirafan dimenangi MPSP sebelum ini iaitu di bawah kepimpinan Maimunah, MBPP (di bawah kepimpinan beliau kini) juga mampu terus cemerlang di masa hadapan.

“Pulau Pinang kini merupakan negeri ketiga bersih di Malaysia selepas Terengganu dan Perak.

“Tetapi… kita (Pulau Pinang) yakin mampu jadi lebih bersih sekiranya setiap isi rumah dan warga negeri menjalankan Dasar
Pengasingan Sisa Di Punca.

“Ini merupakan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kepada beliau untuk menjadikan Pulau Pinang lebih bersih selepas ini, selain
memastikan ekonomi Pulau Pinang terus rancak,” ujarnya.