Rozali, beri perhatian 12 keutamaan tingkat mutu perkhidmatan

Admin

SEBERANG JAYA – Sr. Rozali Mohamud baru-baru ini mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baharu di hadapan Ketua Menteri serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri lain di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Seberang Jaya di sini.

Bercakap kepada pemberita, Rozali memberitahu, salah satu fokus pentadbirannya selepas ini adalah memperluaskan kerja-kerja pembersihan ke kawasan kampung dan desa.

“MPSP telah mengadakan dialog bajet pada 13 Mei 2017 sebagai menyediakan bajet tahun 2018, dan di situ penduduk masih meletakkan keutamaan kepada pembersihan.

“Selaras dengan hasrat Y.A.B. Ketua Menteri sendiri, mengenai keutamaan kebersihan ini, saya akan memperluaskan kerja-kerja pembersihan ini ke kampung-kampung tradisional dan kampung-kampung baru, terutamanya daripada segi pemotongan rumput dan pembersihan longkang-longkang,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Penerimaan Jawatan YDP MPSP.

Rozali memberitahu, pentadbirannya akan memberi perhatian kepada 12 keutamaan demi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan MPSP.

Dalam perkembangan lain, beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan YDP MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif yang dilantik secara rasmi sebagai Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Rozali dalam pada itu turut merakamkan penghargaan atas pelantikan Ir. Rosnani Mahmud sebagai Setiausaha Perbandaran MPSP yang baharu.

Sebelum itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika berucap merakamkan penghargaan apabila kadar kitar semula MPSP sehingga bulan Disember 2016 adalah kira-kira 42.6 peratus, iaitu rekod tertinggi berbanding pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di tanah air ini.

Menurut kajian Penang Institute (PI), katanya, penduduk Seberang Perai berjaya menurunkan beratan pengeluaran sisa per kapita dari 1.6 kilogram (kg) sehari kepada 1.3 kilogram sehari bagi setiap orang.

“Ini merupakan angka penurunan 19 peratus pada tahun 2016 berbanding 2015.

“Peningkatan kadar kitar semula dan penurunan penghasilan sampah per kapita sehari hasil daripada kajian Penang Institute
ini menunjukkan kejayaan pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca,” jelasnya sambil menggesa pentadbiran Rozali terus mengutamakan aspek pembersihan sebagaimana respons penduduk Seberang Perai dalam Dialog Bajet MPSP 2018 baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; barisan Exco Kerajaan Negeri; beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan Maimunah sendiri turut menyaksikan istiadat majlis angkat sumpah tersebut.

Berikut adalah 12 Fokus Utama pentadbiran YDP MPSP baharu:
1. Pembersihan – perkhidmatan pemotongan rumput dan pembersihan longkang akan diperluaskan ke kampung-kampung;
2. Memperbanyakkan ‘PocketPark’;
3. Cadangan menaik taraf perbandaran kepada bandar raya rendah karbon menjelang tahun 2022;
4. Menyediakan Pelan Strategik 2018 – 2022;
5. Mempergiat pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca;
6. ‘Bike Friendly Community‘;
7. Local Economic Development – Memberi latihan pembuatan barangan ‘up-cycle‘;
8. Menjadikan Seberang Perai sebagai destinasi pelancongan melalui seminar;
9. Mempergiatkan garis panduan ‘car wash‘, kedai jualan kereta, ‘food truck‘ dan ‘service truck‘;
10. Menyediakan garis panduan pemutihan kilang haram;
11. Menyediakan garis panduan warisan Seberang Perai; dan terakhir
12. Mewujudkan ‘Smart Cities‘ melalui BDA, IoT, ‘Open Data‘, ‘Cloud Computing‘ dan GIS.