MAINPP agih lebih RM1.08 juta hasil manfaat wakaf kepada 29 penerima

Admin
f0c8cbc8 2e93 4ce3 a709 678810ca805a

GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengagihkan hasil manfaat wakaf khas berjumlah RM1,088,175.80 kepada 29 penerima petang tadi.

Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin berkata, penganjuran penyampaian tersebut menjadi manifestasi amanah MAINPP sebagai pemegang amanah tunggal wakaf di Pulau Pinang dalam memastikan setiap sumbangan wakaf diurus secara berintegriti dan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Melalui majlis ini, hasil manfaat wakaf yang telah diurus dan dibangunkan disampaikan semula kepada para penerima manfaat sebagai tanda bahawa setiap amanah pewakaf dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, teratur dan berintegriti.

“Agihan sebanyak RM1,088,175.80 kepada 29 penerima pada tahun ini melambangkan komitmen berterusan MAINPP dalam memastikan manfaat wakaf dapat disampaikan secara adil, tersusun dan memberi impak signifikan kepada kesejahteraan ummah di negeri ini,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hasil Wakaf Malis Agama Islam Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 dan Penghargaan Kepada Pewakaf dekat sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Setiusaha MAINPP, Dato’ Rosidi Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP, Abdul Mohsein Mohd. Shariff.

Pada majlis sama, seramai 11 pewakaf turut diraikan dan menerima sijil penghargaan sebagai tanda pengiktirafan terhadap keikhlasan, pengorbanan serta kepercayaan yang diberikan kepada MAINPP dalam menguruskan harta wakaf demi kepentingan ummah.

576b585e 49fe 488f be1d b1e82e89d16e

“Penyampaian sijil wakaf ini bukan sekadar satu bentuk penghargaan, tetapi juga pengiktirafan MAINPP terhadap keikhlasan, pengorbanan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh para pewakaf kepada institusi ini.

“Sesungguhnya sumbangan para pewakaf amat besar nilainya, bukan sahaja dalam membantu memperkukuh pembangunan wakaf di Pulau Pinang, malah menjadi dorongan dan teladan kepada masyarakat Islam untuk turut sama membudayakan amalan wakaf, khususnya mewakafkan hartanah,” katanya lagi.

Tambah beliau, MAINPP akan terus komited memastikan pengurusan wakaf dilaksanakan secara sistematik, telus dan berintegriti agar setiap harta wakaf dapat diurus dengan sebaiknya serta memberi manfaat berterusan kepada ummah.

Pada masa sama, MAINPP akan terus mempergiat usaha meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai peranan dan tanggungjawab institusi itu dalam pengurusan wakaf bagi menggalakkan lebih ramai tampil menyumbang dan berwakaf.