Majestic Heights pulih, tambah rumah mampu milik

Admin

PAYA TERUBONG – Dua dalam satu! Selepas 11 tahun terbengkalai, projek perumahan Majestic Heights Fasa 2A di sini bakal dipulihkan semula atas inisiatif khas Kerajaan Negeri yang mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pemaju, PLB Land Sdn. Bhd. baru-baru ini.

Malah, selain menyiapkan projek terbabit, turut bakal didirikan adalah 7,568 unit skim rumah mampu milik dengan harga jualan RM400,000 ke bawah di atas tanah seluas 64 ekar di tapak pembangunan sama.

Projek pemulihan Majestic Heights Fasa 2A dijangka siap dalam tempoh 18 bulan bermula pada tarikh kuatkuasa permulaan kerja manakala projek perumahan baru, dalam tempoh enam tahun bermula daripada tarikh mula kerja.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek perumahan Majestic Heights merupakan skim perumahan negeri terbesar yang terbengkalai di negeri ini.

“Status projek tersebut diisytiharkan terbengkalai pada 31 Disember 2003 dan ia telah menyebabkan kerugian kepada para pembeli dalam  tempoh 11 tahun,’’ katanya ketika mengadakan lawatan khas ke tapak projek di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin dan ADUN Air Itam, Wong Hon Wai.

Guan Eng memberitahu, projek prumahan di tapak seluas 64 ekar adalah khas kepada mereka yang ingin memiliki rumah pertama di Daerah Timur Laut kepada pemohon berdaftar dengan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri.

“Kedudukan projek terbabit adalah strategik kerana ianya berdekatan dengan pusat bandar dan kawasan industri Bayan Lepas.

“Malah, Kerajaan Negeri juga akan membina jalan berkembar baru dari tapak projek ke Bukit Gambir,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu bahawa Kerajaan Negeri masih dalam perbincangan dengan pihak pemaju berhubung cara untuk menyelesaikan Fasa 2B dan Fasa 3A yang turut terbengkalai.

“Fasa 2B mempunyai 542 unit manakala Fasa 3A (558),’’ ujarnya sambil menyeru supaya para pembeli menubuhkan jawatankuasa bagi menggerak serta mempercepatkan projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Jagdeep turut menyeru supaya syarikat pemaju tampil bagi membantu menyelesaikan 13 projek ‘sakit’ atau terbengkalai di Pulau Pinang.