GEORGE TOWN – Lebih 500 jemaah menyertai Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin di Masjid Negeri Pulau Pinang dekat Air Itam pada 8 Mei 2025 sempena pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib.
Tun Ramli bersama-sama isteri, Yang Mulia Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah berkenan hadir pada majlis rasmi Kerajaan Negeri kira-kira 7.15 malam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid dan isteri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long dan isteri; Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol dan isteri.
Seusai solat Maghrib secara berjemaah, Mufti Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman mengetuai majlis bacaan surah Yasin dan tahlil serta doa selamat.
Selepas menunaikan solat Isyak, Tun Ramli dan Yang Mulia Toh Puan berkenaan menyertai majlis makan malam bersama-sama sekalian ahli jemaah di sini.
Dengan berlangsungnya majlis penuh barakah pada malam ini, semoga Tun Ramli dan Yang Mulia Toh Puan terus diberi nikmat kesihatan dan taufik serta hidayah untuk memayung kemakmuran rakyat di negeri Pulau Pinang.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR