Mangsa JE terima bantuan katil, Exco rakam harapan

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

TASEK GELUGOR – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin merakamkan harapan agar Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, yang disahkan mengidapi Japanese Encephalitis (JE) pada Julai lalu kembali sihat, manakala, Hospital Pakar KPJ pula menyumbang katil sakit bernilai RM1,500 kepada kanak-kanak berkenaan.

“Saya sangat bersyukur kerana beliau sudah boleh berjalan dan terus berharap yang terbaik untuk beliau,” ujarnya kepada ibu kanak-kanak berkenaan, Haniza Ayub, 40, di rumahnya dekat Kampung Selamat di sini baru-baru ini.

Bercakap pada sidang media sama, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Abdul Aziz Abd Rahman berkata, sumbangan katil sakit yang dilengkapi pengadang dan roda diharap dapat mengelak risiko jatuh katil semasa tidur serta memudahkan pergerakan kanak-kanak berkenaan.

Sebelum itu, Haniza memberitahu bahawa anaknya masih perlu diberikan perhatian dalam pelbagai segi, sungguhpun kian pulih daripada penyakit berbahaya tersebut.

Menurut Haniza, otot Muhammad Ammar Muqrish yang masih begitu lemah hingga sukar untuk mencangkung semasa membuang air besar mengakibatkan anaknya itu terpaksa memakai lampin pakai buang hingga kini.

Tambahnya, beliau pada waktu bekerja mujur dibantu adik kandungnya yang tinggal bersebelahan rumah untuk mengurus beberapa keperluan Muhammad Ammar Muqrish.

“Dulu Ammar seorang yang aktif, namun selepas kena JE, segalanya berubah sekelip mata…dia tak lagi seceria macam dulu.

“Nak berhenti kerja pun susah…macam mana saya nak bantu suami menyara keluarga,” kata Haniza.

Terdahulu, Muhammad Ammar Muqrish pada hujung bulan Mei lepas dijangkiti wabak JE, selepas menyertai kem motivasi anjuran sekolahnya.

Keadaan Muhammad Ammar Muqrish yang kian lemah sungguhpun diberi rawatan di hospital kerajaan mendorong waris merujuk kanak-kanak berkenaan ke hospital swasta.

Kisah waris serta saudara mara kanak-kanak berkenaan terpaksa mengumpul duit serta menggadai barang kemas untuk membayar wang pendahuluan hospital swasta tersebut yang berjumlah RM10,000 kemudiannya mendapat perhatian banyak pihak, termasuk Afif dan Hospital Pakar KPJ baru-baru ini.