Sambut baik cadangan NGO selamat tanah warisan negeri

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Exco Hal Ehwal Islam, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim menyambut baik cadangan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini baru-baru ini bagi mendapatkan dana daripada Kerajaan Persekutuan dengan tujuan menyelamatkan tanah warisan serta mewartakan ia.

Katanya, Kerajaan Negeri menghargai usaha NGO-NGO terbabit untuk berbincang dengan Kerajaan Persekutuan berhubung masalah tanah warisan yang timbul.

“Kita hargai dan menyokong usaha mereka (NGO) untuk berbincang dengan Persekutuan bagi mendapatkan dana serta mewartakan tanah-tanah tersebut sebagai tapak warisan sekaligus mengambil alih kampung-kampung warisan berkaitan.

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) turut menyokong kenyataan Tan Sri (Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Mohd. Yussof Latif) yang memahami bidang kuasa Kerajaan Negeri yang terhad,” ujarnya pada sidang media baru-baru ini di sini.

Malik berkata demikian sebagai menyokong kenyataan PEMENANG dan Pertubuhan Amanah Warisan Melayu (PEWARIS) yang dilaporkan di dalam akhbar Malaysian Insider bertarikh 18 Oktober 2014 dan Sinar Harian (19 Oktober 2014) baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Malik menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri hanya dapat menahan pengeluaran ‘perintah pembangunan’ atau ‘Development Order‘ untuk membangunkan tanah-tanah di negeri ini.

“Ia membabitkan garis panduan kuasa daripada Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama dalam penyelesaian masalah penduduk di atas tanah-tanah tersebut.

“Berhubung cadangan mewartakan kawasan terbabit sebagai kawasan warisan, ia adalah di bawah bidang Persekutuan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, bagi mewartakan sesebuah lokasi sebagai kawasan warisan, ianya terletak di bawah bidang kuasa Pusat di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

 “Kita (Kerajaan Negeri), tiada sebarang halangan untuk mencadangkan beberapa kawasan yang mempunyai nilai warisan.

“Malah, pihak Kerajaan Negeri sentiasa mengawasi usaha penyelesaian pampasan di antara pihak pemaju dan penghuni tanah,” kata Abdul Malik.