Mansor komited jadi petani, tak pernah makan gaji

Admin

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

 

MEMETIK jagung ditanaman beliau.
MEMETIK jagung ditanaman beliau.

JARANG sekali bagi penulis menemui seorang yang begitu komited menabur jasa dan mengerjakan tanah.

 

Berpegang kepada prinsip bahawa berbakti kepada tanah pasti ada hasilnya, sejak tamat sekolah, Said Saad, 62, terus berkecimpung di dalam bidang tersebut sehingga kini.

 

Bukan mudah, pada usia muda, beliau tidak menafikan bahawa pilihan kerjaya tersebut mendapat cemuhan dan perlian daripada rakan-rakan sebaya.

 

Namun, baginya yang lebih mesra dengan panggilan Mansor, prinsip serta minat menjadi pegangan utama yang membolehkan beliau bertahan sehingga kini.

 

Ketika berkunjung ke kediamannya, penulis begitu tertarik dengan pokok-pokok jagung Mansor yang tumbuh begitu subur.

 

Apatah lagi, pokok-pokok tersebut telah berbuah dah sedia dipetik untuk dimasak mahupun dijadikan bubur jagung.

 

Meleleh air liur dibuatnya!

 

“Petani, orang tak pandang dulu. Malah, kawan-kawan juga perli.

 

“Tapi, saya ada prinsip. Saya sabar dan rajin.

 

“Bila kini dah nampak berjaya, ada pula yang dengki, tapi saya tidak kisah,’’ katanya membuka sesi temubual bersama Buletin Mutiara baru-baru ini.

 

JAGUNG manis yang tumbuh subur.
JAGUNG manis yang tumbuh subur.

Selain tanaman jagung, Mansor yang ceria perwatakannya turut mengusahakan sawah seluas tiga ekar berhampiran kediamannya di Kampung Permatang Berangan A, Seberang Perai Utara (SPU).

 

Ketika diminta mengulas mengenai bidang pertanian dahulu dan sekarang, Mansor menyatakan bahawa perkembangan teknologi banyak meringankan kerja petani-petani kini.

 

Ini termasuk aspek pemasaran yang mana kini adalah lebih mudah berbanding dahulu yang memerlukan beliau serta petani-petani lain menjual sendiri hasil tanaman di pasar-pasar berhampiran.

 

“30 tahun lalu, saya terpaksa kandak air untuk menyiram timun saya, tapi kini boleh guna pam.

 

“Begitu juga kemudahan-kemudahan jentera bagi membajak tanah sawah,’’ jelasnya yang dikurniakan lima cahaya mata dan cucu, 6.

 

Sebagai orang lama, beliau menyatakan bahawa tanaman sawi adalah tanaman paling susah diusahakan ekoran sering kali mengalami serangan penyakit yang banyak.

 

“Berbanding dengan kangkung (paling mudah) dan jagung yang hanya memerlukan 65 hari untuk matang.

 

“Namun, jenis tanaman yang diusahakan adalah bergantung kepada permintaan pasaran dan keperluan semasa,’’ kata Mansor yang ‘seronok’ apabila melihat tanaman diusahakan membuahkan hasil.

 

Sejak bergelar petani, Mansor pernah sekali dipatuk anak ular kapak ketika ingin mencabut kangkung pada subuh.

 

“Ular tuh sebesar ibu jari. Saya tidak serik. Nak serik apa, ini kerja kita,’’ ujarnya ringkas.

 

Berhubung perancangan masa depan, Mansor yang kini mula berjinak-jinak dengan bidang penternakan menyatakan bahawa pada usianya kini, beliau masih larat untruk mengusahakan tanah yang luas sekiranya diberikan peluang.

 

Malah, adalah menjadi harapan Mansor supaya usaha serta titik peluhnya dapat diturunkan kepada anak keempatnya yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perladangan di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara.

 

TANAMAN jagung yang diusahakan bersebelahan kediamannya.
TANAMAN jagung yang diusahakan bersebelahan kediamannya.

“Dia (anak) dah habis belajar. Tunggu dia balik dan harap dia dapat usaha serta pelbagaikan lagi apa yang ada kini,’’ katanya yang tidak pernah makan gaji.