Warga PDC ikrar lawan rasuah

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN BARU – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama di bawah Kerajaan Negeri melakukan ikrar integriti korporat (CIP) selaras dengan hasrat pihak berkenaan mengurus tadbir sesebuah organisasi berprinsipkan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

Hal tersebut mendapat reaksi positif Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang menyempurnakan Majlis Perasmian Melafaz dan Menandatangani CIP membabitkan semua warga kerja PDC dengan diketuai Pengurus Besarnya, Datuk Rosli Jaafar di sini baru-baru ini.

“Kecekapan dan integriti pentadbiran Kerajaan Negeri sejak 2008  terbukti apabila memperkenalkan prinsip CAT sertapentadbiran berasaskan bajet dengan mencipta lebihan belanjawan setiap tahun tanpa meningkatkan sebarang kadar.

“Sebaliknya, Kerajaan Negeri berjaya meningkatkan lagi aset negeri sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM800 juta kepada RM1.2 bilion; mengelakkan kerajaan tempatan iaitu Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) daripada mengalami sebarang bentuk muflis serta pengurangan hutang negeri hingga 95 peratus,” ucapnya pada majlis terbabit di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Pengarah Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Datuk Samarajoo Manikam.

Menurut Guan Eng, pencapaianKerajaan Negeri lazimnya telah memperoleh pengesahan daripada Transparency International dan laporan Tahunan Ketua Audit Negara.

Selain kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Negeri, beliau turut memuji urus tadbir PDC yang cekap buat kali ke-lima berturutturut.

“Sejak tahun 2008, PDC dianugerahkan taraf empat bintang iaitu kedudukan Indeks Akauntabiliti pengurusan kewangan tertinggi oleh Jabatan Audit negara.

“Pencapaian ini sudah cukup membuktikan taraf ketelusan yang tinggi diamalkan oleh PDC,” jelas beliau yang juga merupakan Pengerusi badan terbabit.

Lanjutan itu, Guan Eng mencadangkan SPRM supaya menggariskan enam panduan utama melawan rasuah dalam negara antaranya, mengisytiharkan harta Perdana Menteri, Menteri, Ketua Menteri/Menteri Besar, dan Exco; menjalankan tender terbuka; larangan kepada ahli keluarga dalam membida kontrak kerajaan; perlindungan kepada pemberi maklumat; menggantikan pemimpin yang hidup mewah dan tidak berselindung di sebalik kerja amal dan politik.

Dalam pada itu, Samarajoo memuji tindakan PDC yang memberi sepenuh komitmen bagi menjadikan perbadanan tersebut sebagai lebih kondusif dalam memajukan negeri ini.

“Sememangnya rasuah kalau kita dapat lihat, ianya akan memesongkan tadbir urus sesebuah organisasi dengan amat serius, lantas kita perlu menekankan konsep integriti dan ini sentiasa dititikberatkan SPRM,” ucapnya ketika membacakan teks ucapan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Malaysia), Tan Sri Abu Kasim Mohamed.