Mantan ADUN Batu Uban terima darjah kebesaran TYT

Admin

PADANG KOTA – Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan merupakan antara 16 individu dikurniakan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), yang membawa gelaran Dato’.

Beliau menerima anugerah itu pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-81 Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dekat Dewan Sri Pinang.

Dato’ Dr. T. Jayabalan.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Jayabalan menyifatkan anugerah tersebut sebagai penghargaan terhadap khidmat bakti yang dicurahkan beliau selama lebih lima tahun untuk negeri ini.

“Saya percaya anugerah ini bukan hanya kerana sumbangan politik semata-mata tetapi lebih kepada kerja-kerja kemasyarakatan khususnya aspek kajian dan penyelidikan dalam bidang akademik.

“Sekarang ini saya sedang menjalankan penyelidikan bagi mengumpul data mengenai ‘antimicrobial resistance’ untuk melihat sejauh mana ia boleh menjangkiti masyarakat,” ujarnya.

Difahamkan, sejumlah 240 individu hadir menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormat bagi sesi terakhir, hari ini.

Selain DSPN, seramai 16 individu menerima Darjah Johan Negeri (DJN), Bintang Cemerlang Negeri (7), Pingat Kelakuan Terpuji (27), Pingat Jasa Kebaktian (76), Pingat Jasa Masyarakat (91) dan Pingat Bakti Setia (7).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD/ALVIE CHENG
Video : LAW SUUN TING