Umum dijemput meriahkan LLM Maju Cultural Night Run @ 2ND Bridge, 15 September

Admin

GEORGE TOWN – Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee mengajak orang ramai untuk menyertai acara larian Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Maju Cultural Night Run @ 2ND Bridge, Penang yang bakal berlangsung pada 15 September ini.

Menurut Lip Chee, larian santai tersebut merupakan acara yang julung kalinya dianjurkan oleh LLM di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua).

Katanya, larian sejauh tujuh kilometer (km) itu menyasarkan penyertaan kira-kira lima hingga 10,000 orang peserta.

“Larian ini merupakan aktiviti riadah istimewa yang berbeza dengan acara santai lain kerana ia bukan sahaja pertama kali diadakan di atas Jambatan Kedua, malah turut menggabungkan persembahan kesenian dan kebudayaan serta pelbagai lagi aktiviti berkonsepkan budaya masyarakat majmuk di negara ini.

“Selain berlari, peserta akan dipersembahkan dengan pertunjukan kebudayaan seperti boria, chinggey, bhangra, tarian Melayu, tarian India dan sebagainya di beberapa lokasi tertentu sepanjang laluan acara larian,” ujar Lip Chee ketika berucap pada Majlis Pelancaran LLM Maju Cultural Nieght Run @ 2ND Bridge dekat Tingkat 3, Komtar hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Piang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Timbalan Pengarah (Bisnes) LLM, Ir. Abdullah Hashim; dan Pemangku Pengurus Besar Jambatan kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Arjunaini Idrus.

Selain itu, kata Lip Chee, pada program itu juga LLM turut mengadakan acara VIP Charity Walk sejauh tiga kilometer bagi mendapatkan dana wakaf air minuman percuma di kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya.

“Penganjur sasarkan sebanyak 40 unit mesin air akan disediakan dengan anggaran kos sebanyak RM200,000 serta disalurkan kepada badan-badan kebajikan,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal itu lagi.

Bagi yang berminat untuk mendaftarkan diri, boleh layari https://howei.com/event details/culturalnightrun2019 sehingga 31 Julai ini.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI