Masalah pertembungan aliran trafik PLUS ke Jambatan Pulau Pinang dalam perhatian EPU JPM – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (dua dari kanan) diiringi P. Ramasamy (kanan sekali) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri KADUN Perai di sini pada 7 Mei 2023.

PERAI – Masalah pertembungan aliran trafik dua hala yang begitu teruk dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Jambatan Pulau Pinang ke Tol Sungai Dua sudah dalam perhatian Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai di sini pada 7 Mei 2023.

Kata Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim memberitahu perkara itu kepadanya semalam selepas mengumumkan Pusat akan ‘bantu’ Pulau Pinang segerakan projek transit aliran ringan (LRT) di negeri ini.

“Aliran trafik yang begitu teruk dari lebuh raya berhampiran Teluk Indah ke Sungai Dua ini adalah projek yang kritikal.

“Maka, kaedah pelaksana (projek persekutuan) ini boleh dibincangkan, saya berharap projek ini dapat disegerakan bagi menyelesaikan ‘ibu segala permasalahan’ trafik sesak lebuh raya tersebut kelak,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Berucap sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy menyatakan bahawa komitmen Kerajaan Persekutuan berusaha menyegerakan program penyuraian trafik di negeri ini sekali gus akan menjana sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Di samping itu, Ramasamy yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi merangkap ADUN Perai selaku penganjur Rumah Terbuka Aidilfitri KADUN Perai merakamkan penghargaan kepada para tetamu yang hadir pada majlis di sini.

Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Kamarul Haizal Koderat; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Badrul Amin Abdul Hamid dan P. David Marshell (Ahli Majlis MBSP) merupakan antara pemimpin yang hadir pada majlis tersebut.

Semalam, Anwar mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan dana tambahan bagi membantu Kerajaan Pulau Pinang menyegerakan projek pembinaan LRT George Town – Bayan Lepas, dengan mengambil kira kebimbangan pelbagai pihak berhubung cadangan pembangunan ‘Pulau A’ atau ‘Silicon Island’ di bawah projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pulau Pinang (PSI).

Beliau mengumumkan perkara itu selepas mengikuti ucapan alu-aluan Kon Yeow dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Permatang Pauh di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR