PERAI – Masyarakat di negeri ini diseru supaya terus menjadi ‘mata dan telinga’ kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang dalam usaha untuk memastikan kebajikan golongan retan terus terjaga.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata bahawa dalam keadaan ekonomi kini yang semakin mencabar menyebabkan lebih ramai rakyat berdepan kesukaran sekali gus memerlukan bantuan kerajaan.
“Saya perlukan lebih ramai pihak termasuk komuniti setempat, pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), rukun tetangga dan lain-lain untuk membantu kami mengenal pasti golongan yang memerlukan ini.
“Perhatikan persekitaran anda sekiranya terdapat golongan yang memerlukan bantuan dan laporkan kepada kami supaya kami boleh menyalurkan bantuan kepada mereka sama ada dalam bentuk kewangan atau persekitaran yang lebih selamat,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui selepas Program Jelajah Manfaat pada 4 Ogos lalu.


Program tersebut turut dianjurkan bersama-sama Rakyat Bersama-sama Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Pasukan Sukarelawan Mutiara, Pusat Khidmat ADUN Perai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Tzu Chi.
Pada masa sama, Siew Khim yang juga ADUN Sungai Pinang turut menyeru kepada orang ramai untuk menyertai Pasukan Sukarelawan Mutiara supaya lebih banyak golongan rentan dapat dibantu.
“Pasukan Sukarelawan Mutiara dan JKM Pulau Pinang sudah lama bekerja keras untuk membantu golongan rentan di negeri ini dan saya berharap lebih ramai pihak tampil ke depan bersama-sama mereka untuk membina masyarakat yang lebih prihati, dinamik dan inklusif.
“Namun begitu, cara terbaik adalah dengan cara memupuk hubungan baik dengan komuiti terutamanya jiran tetangga.
“Jadilah jiran tetangga yang sentiasa prihatin terhadap keadaan sekeliling… segera hubungi pihak berwajib sekiranya mendapati ada dalam kalangan penduduk berada dalam kesusahan supaya bantuan sewajarnya dapat disalurkan,” katanya.
Siew Kim berkata, Program Jelajah Manfaatakan terus diadakan meliputi semua daerah di negeri ini untuk mengenal pasti dan memantau lanjut keadaan masyarakat terutamanya golongan rentan.
“Terima kasih kepada semua pihak, terutamanya pihak JKM Pulau Pinang, pasukan sukarelawan dan rakan strategik kami kerana telah banyak membantu golongan kurang bernasib baik di negeri ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah JKM Pulau Pinang, Rozita Ibrahim berkata bahawa semua empat orang penama yang dilawati dalam program tersebut adalah merupakan penerima bantuan yang dipantai dan dinilai rapi oleh pihak JKM.
“Ada beberapa perkara yang memerlukan intervensi lebih mendalam kerana melibatkan kes- kanak-kanak, sama ada dari segi tempat tinggal yang selamat, keciciran persekolahan dan kelangsungan untuk meneruskan hidup.
“Contohnya ada kes dalam lawatan kali ini yang mana mereka berada dalam persekitaran tidak selamat iaitu kawasan perumahan yang didiami agak padat dengan warga asing sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan yang kurang selamat.
“Banyak agensi yang boleh membantu yang mana kita (JKM) akan kerjasama dengan rakan strategik lepas untuk membantu mereka secara konsisten supaya mereka boleh meneruskan kehidupan dengan lebih selesa,” katanya.
Keciciran pembelajaran
Penama pertama dalam jelajah kali ini adalah membabitkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun kiyang ni sedang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Perai tetapi terpaksa tinggal dalam persekitaran yang kurang selamat.
Keluarga penama dilihat mempunyai masalah sosial dan sosioekonomi yang sangat kronik yang mana penama dan dua lagi adik kandungnya merupakan anak tidak sah taraf.
Lebih malang lagi apabila bapa mereka telah meninggalkan keluarga sejak mereka masih kecil dan memaksa ibunya yang bersia 30 tahun keluar mencari nafkah bagi menyara penama dan dua lagi adiknya.
Bukan itu sahaja, ibu penama juga terpaksa menyara tiga lagi adik beradiknya yang usia 14, 16 dan 17 tahun yang juga berdepan masalah keciciran pelajaran di samping seorang lagi saudara berusia dua tahun.
Difahamkan, ibu penama kini bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah kilang dekat Perai dengan memperolehi pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan.
Justeru, pijak JKM Pulau Pinang telah meluluskan Skim Bantuan Persekutuan-Bantuan Kanak-Kanak mulai Ogos 2025 dengan kadar RM1,000 sebulan bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan.
Warga emas tanpa sumber pendapatan
Penama kedua yang dilawati adalah membabitkan warga emas berusia 78 tahun, Wong Poh Lin yang tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan selain mempunyai penyakit tekanan darah tinggi dan kolestrol serta menjalani rawatan berkala di klinik swasta.
Poh Lin kini tinggal bersama-sama adik perempuan dan iparnya yang juga tidak bekerja di sebuah rumah teres milik mendiang bapanya sejak kecil dan segala kos perbelanjaan makan minum kini ditanggung sepenuhnya oleh adiknya.
Difahamkan, sumber pendapatan mereka adalah bergantung sepenuhnya kepada sumbangan daripada anak-anak adiknya yang tinggal di kediaman berasingan.
Disebabkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Poh Lin masih di bawah paras pendapatan yang telah ditetapkan, maka JKM telah meluluskan Skim Bantuan Persekutuan-Bantuan Warga Emas mulai Ogos 2025 dengan kadar RM 600 sebulan bagi membantu meringankan kos sara hidup seharian.
Ibu tunggal
Lawatan diteruskan pula ke kediaman penama ketiga, Hamidah Pie yang merupakan seorang ibu tunggal berusia 72 tahun.
Hamidah kini tinggal bersama seorang anak lelaki tunggalnya yang merupakan bapa tunggal berusia 48 tahun dan bekerja sebagai pekerja kontrak dengan pendapatan RM2,000 sebulan serta mempunyai dua orang anak.
Mereka sekeluarga kini tinggal di sebuah rumah teres berkelengkapan sederhana dengan kadar bayaran sebanyak RM 850 sebulan.
Hamidah merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang berdaftar yang mana dia mengalami buta mata kanan sejak kecil lagi.
Walaupun mengalami penyakit darah tinggi dan kencing manis, Hamidah masih lagi bekerja sebagai tukang pembancuh air di sebuah kedai makanan sejak tiga bulan lalu bagi meneruskan hidup.
Oleh itu, pihak JKM Pulau Pinang telah meluluskan bantuan Skim Bantuan Persekutuan-Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya mulai Ogos 2025 dengan kadar RM 450 sebulan.
OKU fizikal kini bergelar usahawan
Penama terakhir pula merupakan seorang OKU fizikal, Zafri Zainal Abidin yang mengalami kecacatan tangan kiri dan hilang keupayaan sepenuhnya akibat kemalangan jalanraya pada tahun 1987.

Kini Zafri yang berusia 58 tahun dan berstatus duda telah berpindah dari lokasi perniagaan sedia ada ke lokasi baru sejak Januari 2025.
Zafri kini menjalankan perniagaan sepenuh masa dengan menghasilkan ‘Art Frame” dalam bentuk canvas dan kayu di kediaman yang disewa dan diubah kepada tempat perniagaan beliau.
Beliau memulakan perniagaan sepenuh masa pada tahun 2018 dan telah mendapat Geran 2YEP (Program 2 Years Empowerment) daripada JKM SPT pada tahun 2019 sebanyak RM2,700 secara one-off.
Pada awal perniagaan, Zafri hanya mampu menjana pendapatan sekitar RM1,000 sebulan tetapi kini dengan bantuan peralatan yang dibekalkan melalui program 2YEP beliau berjaya meningkatkan pendapatan kepada RM1,800 sehingga RM2,000 sebulan.
Jualan produk beliau meliputi jualan terus kepada pelanggan di kedai dan juga jualan melalui aplikasi dalam talian.
Beliau pernah menerima bantuan kewangan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya dan telah ditamatkan bantuan setelah berjaya keluar dari paras PGK yang ditetapkan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS