PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil langkah proaktif dengan mengaplikasikan teknologi penderiaan jauh berasaskan satelit sebagai pendekatan inovatif bagi mengesan tahap kesihatan pokok bandar secara lebih tepat, efisien dan pantas.
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata, projek yang dikenali sebagai ‘Smart Sight Trees’ itu menelan kos sebanyak RM988,000 dengan tempoh kajian selama setahun, bermula Julai 2025 hingga Julai 2026.
“Keluasan kawasan kajian adalah 44 kilometer persegi, tertumpu di Daerah Timur Laut (DTL), melibatkan sebanyak 12,531 pokok dengan ketepatan laporan maklumat satelit mencecah 94 peratus.
“Kajian ini menggunakan data sejarah imej satelit yang dikumpulkan sepanjang tempoh tiga tahun (2023 – 2025) pada resolusi spatial tinggi dengan jalur multispektral yang memfokuskan kepada struktur luaran dan dalaman pokok termasuk daun, sekali gus memberikan gambaran menyeluruh tentang tahap kesihatan pokok.
“Kaedah ini mengambil kira pelbagai faktor penentu dan pemboleh ubah seperti ciri fisiologi, spesies serta tekanan persekitaran bagi analisis kesihatan pokok yang lebih menyeluruh.
“Pengesahan lanjut turut dijalankan di lapangan melalui kaedah fizikal dan invasif menggunakan peralatan seperti resistograf, gerudi dan tomograf,” katanya ketika berucap sempena Majlis Peluncuran Laman Sesawang ‘Smart Sight Trees’ di Dewan Bandaraya MBPP, di sini, sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong serta Ahli-ahli Majlis MBPP.

Tambah Rajendran, fokus diberikan kepada DTL memandangkan kawasan tersebut berdepan beberapa cabaran seperti tekanan pembangunan dan kerja pelebaran longkang yang menjadi antara punca penurunan kesihatan pokok serta meningkatkan risiko tumbang.
“Teknologi ini membolehkan kita mengesan tahap kesihatan pokok yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, selain mengklasifikasikan risiko kepada kategori tinggi, sederhana dan rendah,” jelasnya.
Sementara itu, Mooi Lye berkata, pendekatan berkenaan bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah membantu mengurangkan kejadian dahan patah atau pokok tumbang.
“Lebih penting, ia memperkukuh keupayaan kita merancang bandar yang lebih pintar, hijau dan selamat untuk generasi akan datang.
“Projek ‘Smart Sight Trees’ ini merupakan platform perisikan dan pengurusan pokok bandar yang direka bagi membantu pihak berkuasa tempatan serta jabatan landskap beralih daripada penyelenggaraan reaktif kepada pengurusan pencegahan berasaskan data.
“Ia menggabungkan inventori pokok, visualisasi geospatial, penilaian risiko serta aliran kerja operasi dalam satu sistem bersepadu untuk tujuan perancangan, pemantauan dan sokongan keputusan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.
Difahamkan, teknologi seumpama ini antara yang terawal digunakan oleh pihak berkuasa tempatan di Malaysia.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT