MSNPP anjur makan malam amal, sasar kutip RM400,000 perkasa pembangunan sukan

Admin
img 20260505 wa0057

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) akan menganjurkan Makan Malam Amal & Bidaan Karya Seni untuk Tabung Pembangunan Sukan MSNPP 2026 pada 9 Mei ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, penganjuran julung kali itu merupakan inisiatif strategik bagi mengumpul dana untuk menyokong pembangunan sukan negeri ini secara holistik.

Menurut beliau, fokus utama adalah memperkasa kebajikan atlet, meningkatkan kualiti latihan serta memperkukuh tahap kesiapsiagaan atlet Pulau Pinang dalam menghadapi cabaran pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Usaha ini penting bagi memastikan kecemerlangan kontinjen negeri menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang bakal menjadi medan ujian prestasi dan daya saing tertinggi buat atlet kita,” katanya dalam sidang media dekat Komtar di sini pagi tadi.

img 20260505 wa0055
Daniel Gooi Zi Sen bersama barisan penaja.

img 20260505 wa0058

Tambah beliau, sebanyak 10 karya seni fizikal eksklusif daripada penggiat seni terpilih akan dibida pada malam tersebut, sekali gus menjadi antara tarikan utama majlis.

Dalam masa sama, bidaan turut dibuka secara dalam talian menerusi platform The Art Gallery Penang bagi membolehkan penyertaan lebih meluas termasuk daripada pengumpul seni dan penyokong dari dalam serta luar negara.

“Kerajaan Negeri amat menghargai komitmen para penggiat seni yang menyumbangkan karya mereka dalam menjayakan inisiatif ini, sekali gus menyokong pembangunan sukan negeri secara bermakna,” ujarnya.

Setakat ini, sebanyak RM325,000 telah berjaya dikumpulkan, dengan sasaran kutipan sebanyak RM400,000 bagi program berkenaan.

Secara keseluruhan di bawah inisiatif IMPACT, jumlah sasaran kutipan ditetapkan sebanyak RM3 juta.

Mengulas lanjut, Daniel berkata, sokongan penaja mencerminkan keprihatinan pelbagai pihak terhadap pembangunan sukan negeri serta peranan penting sektor korporat dan individu dalam memastikan kebajikan atlet terus terpelihara.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan lebih banyak penyertaan daripada pihak swasta, agensi dan individu untuk bersama-sama menyumbang serta menjalin kerjasama strategik dalam memperkukuh ekosistem pembangunan sukan Pulau Pinang.

“Ini bukan sekadar acara kutipan dana, tetapi satu inisiatif bersepadu untuk memastikan masa depan atlet negeri terus terbela dan mampu mengharumkan nama Pulau Pinang serta negara di pentas lebih tinggi,” katanya.

Pada masa sama, Zi Sen turut menzahirkan penghargaan kepada para penaja korporat serta individu yang telah menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada penganjuran majlis tersebut.

“Pihak Kerajaan Negeri amat menghargai kesudian serta komitmen para penggiat seni yang telah menyumbangkan karya mereka dalam menjayakan inisiatif ini yang bukan sahaja memperkayakan nilai majlis malah turut menyokong pembangunan sukan negeri secara bermakna,” ujarnya.

Difahamkan, lagenda skuasy negara, Dato’ Nicol Ann David turut menyumbang bagi menjayakan majlis makan malam amal tersebut.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: ALISSALA THIAN