Kompaun tempat letak kereta serendah RM5.00 sehingga 31 Disember – Datuk Bandar MBSP

Admin

SEBERANG JAYA – Pesalah yang menerima kompaun tempat letak kereta yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) boleh menjelaskan bayaran pada kadar RM5.00 bagi setiap kesalahan sehingga 31 Disember tahun ini.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, promosi tersebut tidak termasuk kompaun yang telah didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan kompaun atas kesalahan meletak kenderaan di petak Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau berkata, promosi yang dijalankan tersebut adalah bertujuan membantu dan meringankan beban pembayar cukai dalam tempoh penularan pandemik COVID-19.

“MBSP sedaya upaya memudahkan dan memberi peluang kepada para penerima kompaun dengan bayaran hanya RM5.00 tapi sekiranya pemandu masih ingkar, tindakan tegas akan diambil termasuk membawa kes ke mahkamah.

“Pada tahun 2019 sebanyak 9,605 kes telah dibawa ke mahkamah bagi kesalahan tempat letak kereta dan 121 kenderaan telah ditarik manakala bagi tahun 2020 sebanyak 3,409 kes telah dibawa ke mahkamah manakala 27 kenderaan telah ditarik.

“Oleh itu, saya tegaskan bahawa sekiranya pemandu masih lagi berdegil, kita (MBSP) akan bertindak menarik kenderaan atau membawa kes ke mahkamah bergantung kepada kewajaran kesalahan mereka,” tegasnya.

Selain kesalahan tempat letak kereta, Rozali berkata bahawa MBSP juga menjalankan promosi kompaun berkaitan kesihatan awam dan veterinar yang melibatkan 539 kompaun.

“Sehingga kini, jumlah kompaun masih belum dijelaskan adalah sebanyak 229 manakala 310 telah dijelaskan sepanjang promosi diadakan.

“Kebanyakan yang dikompaun di bawah kesalahan ini adalah peniaga. Oleh itu kita harap peniaga-peniaga dan pelaku kesalahan boleh membayar sebelum 31 Disember 2020,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, MBSP juga memberikan diskaun 20 peratus bagi tunggakan lesen papan iklan.

“Sehingga kini, hanya lima daripada 350 papan iklan yang diluluskan oleh MBSP membuat pembaharuan lesen.

“Sekiranya mereka masih tidak membayar (permit) sehingga 31 Disember ini, tindakan meruntuhkan struktur papan iklan akan dilakukan pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD