MBPP komited sedia prasarana mesra kanak-kanak

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan terus komited dalam memastikan kehendak golongan kanak-kanak diambil kira terutamanya pada aspek penyediaan prasarana serta kemudahan di taman-taman awam dan rekreasi di negeri ini.

Perkara tersebut dinyatakan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2015 di sini baru-baru  ini.

Mengulas lanjut, Patahiyah menyatakan bahawa MBPP telah membina sebuah taman permainan kanak-kanak yang mesra pengguna untuk golongan kurang upaya (OKU) dan Digital Tagging Quick Response Code (QR Code) yang pertama di Malaysia.

“Taman kanak-kanak mesra OKU yang pertama dalam negara telah berjaya direalisasikan di Taman Bandaraya dan ia memenuhi piawaian reka bentuk universal.

“Serentak itu, ia (Taman Bandaraya) juga dilengkapkan dengan QR Code menerusi portal interaksi yang menyediakan pelbagai informasi berkaitan taman ini yang mana mewujudkan interaksi secara langsung dengan para
pengunjung,” katanya.

Hadir menyempurnakan majlis berkaitan, Yang di- Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Pengerusi Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff turut hadir.

Tambah Patahiyah, Taman Bandaraya mempunyai kepelbagaian pokok teduhan dan keadaan tersebut adalah amat sinonim dengan sebuah pusat rekreasi bercirikan educational park.

“Lebih banyak pokok-pokok teduhan terutamanya pokok nadir akan ditanam agar taman ini menjadi educational park yang mesra kanak-kanak dan para pelajar.

“Melalui pendekatan ini, golongan berkaitan dapat berinteraksi dengan keindahan alam semulajadi iaitu flora dan fauna yang terdapat di sini,” jelas beliau.

Kira-kira 300 tetamu memeriahkan sambutan yang julung kali diadakan itu.