Asrama pekerja asing, kini dalam proses penelitian – Exco

GEORGE TOWN – Inisiatif pembinaan asrama bagi pekerja warga asing berdekatan kawasan perindustrian di negeri ini, dijangka dapat menyelesaikan masalah penempatan beribu-ribu pekerja berkenaan terutamanya yang menetap di kawasan perumahan umum.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, projek pembinaan yang dijangka bermula tahun hadapan itu kini dalam proses meneliti permohonan majikan yang berminat.

Menurutnya, pembinaan asrama berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Negeri melalui perkongsian awam dan swasta (PPP) dalam mewujudkan suasana lebih selesa dan kondusif bukan sahaja untuk penduduk setempat, tetapi juga pekerja warga asing.

“Saya kerap mendengar aduan daripada penduduk yang kurang selesa dan selamat dengan kebanjiran pekerja warga asing yang menyewa, terutama di taman-taman perumahan dalam lingkungan kawasan perindustrian.

“Oleh itu, saya berharap dengan adanya kemudahan asrama ini kelak, pihak majikan berkaitan disaran untuk memindahkan pekerja masing-masing dan secara tidak langsung membendung kejadian yang tidak diingini seperti salah laku moral dan jenayah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Amal Hari Tanpa Daging Sedunia 2015 di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, sehingga kini, Kerajaan Negeri telah meluluskan garis panduan bagi  pembinaan asrama terbabit dan empat pengendali telah menawarkan diri untuk terlibat dalam projek berkenaan.

“Dua daripada pengendali yang tampil telah mengemukakan perancangan masingmasing bagi asrama pekerja warga  asing di Batu Maung dan Bukit Minyak.

“Walau bagaimanapun, kita (Kerajaan Negeri) masih meneliti butiran-butiran permohonan berkenaan kerana semuanya tertakluk kepada garis panduan antarabangsa yang telah diluluskan dalam Majlis Mesyuarat  Kerajaan (MMK) Negeri baru-baru ini,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, antara syarat-syarat yang digariskan adalah pembinaan asrama hanya  dibenarkan dalam lingkungan zon komersial atau perindustrian (supaya pihak pemaju tidak mengenakan pakej hartanah kediaman), setiap dua ekar (0.81 hektar) hanya 5,000 pekerja boleh ditempatkan dan setiap 800 kaki persegi akan menampung sehingga 18 pekerja asing.

“Setiap asrama ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk kedai runcit, kemudahan sukan dan  riadah serta kemudahan klinik,” jelas beliau.