MBPP teruskan operasi hotel bajet tanpa lesen

TANJUNG TOKONG – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) baru-baru ini menyerbu sebuah lagi hotel bajet di sini kerana beroperasi tanpa lesen sah.

Penolong Pegawai Senibina Kanan, Jabatan Kawalan Bangunan MBPP, Zaidah Abdul Yazis memberitahu, MBPP perlu mengambil tindakan tegas termasuk menyita kemudahan-kemudahan dan menutup hotel bajet yang masih ‘berdegil’ menjalankan operasi tanpa lesen.

Katanya, hotel yang mula beroperasi setahun lalu itu pernah diserbu pada 13 November 2015 dan dikenakan notis amaran serta arahan bagi mendapatkan lesen yang sah.

“Walau bagaimanapun, operasi hari ini menunjukkan pengusaha hotel bajet ini masih ‘berdegil’ untuk membuat permohonan sungguhpun arahan telah dikeluarkan sebelum ini.

“Mengikut kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, pemilik hotel bajet ini telah dikenakan kompaun sejumlah RM250 dan perlu menutup operasi dengan segera sehingga permohonan lesen dibuat,” ujarnya selepas selesai operasi penguatkuasaan di sini baru-baru ini.

Dalam operasi berkaitan, MBPP turut melakukan rampasan barangan berupa tilam, bantal serta perabot dan perobohan struktur dalaman.

Operasi bersepadu tersebut turut disertai 15 anggota Bahagian Penguatkuasaan MBPP, Jabatan Pelesenan MBPP, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mengulas lanjut, Zaidah menyatakan bahawa keutamaan operasi penguatkuasaan adalah tertumpu kepada hotel-hotel bajet yang baru beroperasi dan tiada dalam senarai pemutihan.

“Mengikut rekod sehingga 19 Januari lalu, sebanyak 43 hotel bajet di sekitar Daerah Timur Laut (DTL) masih belum mendapatkan kebenaran operasi.

“Daripada jumlah tersebut, 11 daripadanya telah diambil tindakan penguatkuasaan,” jelas beliau.

} else {