MBPP terima anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard 2018

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengharumkan nama negeri apabila muncul sebagai salah sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam negara yang menerima anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard 2018 (ACTC) baru-baru ini.

Pengiktirafan tersebut diperoleh setelah MBPP memenuhi taraf dan ciri-ciri bandar bersih yang ditetapkan di peringkat Asia Tenggara.

Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang berkata, anugerah tersebut diterima PBT berkaitan pada Majlis Penyampaian Anugerah ACTC yang berlangsung di Chiang Mai, Thailand 26 Januari lalu.

Bercakap kepada pemberita, Tung Seang menyatakan bahawa anugerah tersebut merupakan pencapaian peranan daripada semua pihak.

“Banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam negara yang memohon, tetapi hanya tiga yang diiktiraf sebagai bandar terbersih di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Selain kita (MBPP), dua lagi PBT yang turut berjaya merangkul anugerah yang sama ialah Perbadanan Putrajaya dan Majlis Perbandaran Muar,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis di sini baru-baru ini.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali, Ahliahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MBPP.

Dalam perkembangan sama, Tung Seang turut mengumumkan bahawa Pulau Pinang turut menduduki tempat ketiga dalam mempraktikkan amalan Indeks Bangunan Hijau (GBI) di Malaysia.

“Sebanyak 30 bangunan dengan keluasan lantai kira-kira 11 juta kaki persegi telah diwujudkan di sini dengan anggaran sebanyak 25.4 kilotan setahun dan pelepasan CO2 akan berjaya dikurangkan.

“MBPP akan meneruskan usaha dan hasrat murni untuk menjadikan Pulau Pinang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat,” jelasnya.