Ilmu Islam perlu dilihat lebih luas daripada mazhab, saran Mufti Pulau Pinang

Admin

SEPERTI di negeri-negeri lain, Pulau Pinang pun seakan-akan tidak terlepas daripada isu ‘takfiri’ serta taasub.

Masjid – masjid tertentu dijadikan medan untuk menyemarakkan budaya saling mengkafir atau ‘takfiri’ ini.

Impaknya, budaya taasub kepada satu-satu puak mula ditajamkan, hatta boleh menjejaskan perpaduan rakyat yang berbilang kaum di negeri ini.

Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor memberitahu, perkara berbangkit tersebut bukan isu baru dalam sejarah perkembangan umat Islam di dunia dan di tanah air ini.

Pun begitu, beliau memberitahu, umat Islam harus didorong untuk lebih berfikiran terbuka.

“Sudah tentu… apabila kita tengok faktor membatasi ilmu dalam mazhab atau tradisi tertentu mengakibatkan kurang berlakunya keterbukaan itu.

“Sedangkan ilmu Islam ini lebih luas daripada mazhab, lebih luas daripada mazbah tertentu, (ilmu Islam) ini lebih terbuka kepada kepelbagaian pandangan mazhab, bukan sahaja dalam fiqah malah usuluddin.

“Dalam bab fiqah memang ada pelbagai perbezaan, kita tidak boleh belajar secara perbandingan mazhab (secara tajam), sedangkan tidak sesiapa pun yang boleh mendakwa bahawa pandangan yang benar itu berada pada mazhab tertentu sahaja.

“Kebenaran itu mungkin berada dalam mazhab lain, tapi kalau dengan sikap yang tertutup, seolah-olah kita mengikut diri kita untuk tidak melihat lebih jauh daripada ilmu-ilmu Islam yang ada,” jelasnya dalam wawancara bersama-sama wartawan akhbar Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di pejabatnya baru-baru ini.

Kebebasan
Selain itu ‘takfiri’, menurut Wan Salim, Pulau Pinang sebenar berusaha menjadikan sebuah Kerajaan Negeri yang menghargai kepelbagaian pemikiran dalam kalangan umat Islam ini.

“Kita tak pernah sekat mana-mana ceramah di Pulau Pinang walaupun membawa pelbagai faham, sebagaimana di negeri-negeri lain, tapi asalkan tidak menyemarak budaya takfiri ini atau taasub.

“Kita memang nak membuka lagi faham umat Islam kerana ia lebih menguntungkan.

“Sebabnya, masyarakat Islam akan lebih terbuka untuk melihat Islam dalam spektrum yang lebih luas,

“Dan, orang akan faham, satu-satu masalah mungkin boleh selesai menurut pendapat A atau B atau C atau D dan sebagainya, itulah yang dimaksudkan Islam sebagai penyelesaian masalah kemanusiaan.

“Kalau tak boleh selesai dalam mazhab Shafie, mungkin boleh diselesaikan menurut mazhab Hanafi, selalu saya sebut akhirnya kita perlu lihat yang mana lebih sesuatu dengan tempat yang kita duduk,” katanya.

Fatwa
Seperti Pulau Pinang yang mempunyai unsur kemajmukan, kata Wan Salim, fatwa yang dibincangkan mestilah mengambil kira keadaan realiti negeri ini.

“Tahap keterbukaan umat Islam di negeri kita lebih baik, mungkin faktor kemajmukan rakyat yang berbilang agama dan bangsa serta budaya di negeri ini lebih ketara berbanding di negeri-negeri tertentu.

“Sesuatu perkara yang mungkin sesuai di Kelantan umpamanya, mungkin tidak sesuai di Pulau
Pinang.

“Sifat fatwa memang kena ambil kira masa, tempat serta keadaan sekeling tempat fatwa itu diminta, sesuai atau tidak sesuai.

“Seperkara, ilmuan kita tidak ada kemampuan seperti Sheikh Dr. Yusof Qaradawi, Dr. Wahbah AlZuhayli dan sebagainya, yang biasanya kita dengar menukil fatwa.

“Kita kena lihat sesuai atau tidak, kalau tidak sesuai satu-satu fatwa, maka kita ubah sesuai.

“Selalu saya kata, keadilan Islam ini sifatnya universal, bukan meliputi penganut-penganut agama Islam sahaja.

“Kan kita pernah dengar Khalifah terdahulu umat Islam, yang mana keadilan mereka hatta untuk memayungi umat bukan Islam.

“Bermazhab itu tidak salah, tetapi yang salah adalah merugikan umat Islam dengan budaya taasub.

“Sikap taasub inilah yang menghalang kita daripada mendengar pandangan-pandangan lain daripada yang kita pegang, walaupun itu pandangan yang betul dan relevan dengan pandangan kita,” ujarnya.

Harapan

Wan Salim menyatakan bahawa beliau sebenarnya optimis dengan peluang melaksanakan dakwah Islam di sebalik kempen ‘Islam Rahmat Ke Seluruh Alam’.

“Salah satu yang patut dibuat adalah untuk mewujudkan pengajian ala kekitaban, supaya lebih banyak lagi pusat pengajian kitab-kitab kuning di tanah air ini.

“Kalau boleh kitab kuning ini perlu disunting balik, disaring dalildalilnya, kerana bukan semua pandangan ulama silam, walaupun betul, sesuai untuk di negeri ini, yang mana relevan diterima.

“Saya memang berharap Islam ini boleh dilihat sebagai rahmat, bukan sahaja untuk orang Islam, bahkan orang bukan Islam,” kata beliau.