MBPP tidak lindungi syarikat papan iklan tiada lesen – Ahli Majlis

BAYAN LEPAS – Garis panduan baru di bawah Undang-undang Kecil Iklan 2000 yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bermula Julai lalu adalah bertujuan membasmi pemasangan papan iklan tidak mengikut garis panduan di sini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ahli Majlis MBPP, Ong Ah Teong semasa membuat pemantauan kerja-kerja perobohan papan iklan haram yang terletak berhadapan dengan lokasi pelancongan popular, Tokong Ular Pulau Pinang.

Katanya , Majlis akan menyenaraihitamkan nama pemilik, syarikat dan agensi yang gagal serta mengabaikan pematuhan notis penurunan papan iklan yang dikeluarkan.

“Jika mereka (pemilik) enggan menurunkannya sendiri, kita (Majlis) akan lakukannya. Tetapi, kos perobohan akan dibilkan kepada syarikat berkenaan.

“Sekiranya kos tersebut gagal dibayar, nama dan syarikat tersebut akan disenaraihitamkan selama enam bulan.

“Selepas enam bulan dan pemilik masih enggan bayar, pembaharuan papan iklan tidak akan diperbaharui,” tegasnya yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MBPP pada sidang media di sini baru-baru ini.

Seramai 20 Penguatkuasa MBPP terlibat dalam kerja-kerja perobohan papan iklan gergasi yang mengambil masa hampir 10 jam untuk diturunkan itu.

Ah Teong memberitahu, sejak garis panduan baru tersebut diperkenalkan, sebanyak tiga syarikat telah disenaraihitamkan melibatkan kesalahan pinda saiz, pindah lokasi dan tanpa kebenaran.

“ Tindakan ini sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa MBPP melindungi beberapa syarikat yang tidak berlesen.

“Sepanjang program pemutihan papan iklan dijalankan pada Ogos 2012 hingga Jun 2013, sebanyak 312 papan iklan telah diturunkan. Ini termasuk papan iklan dinding, bumbung dan ‘stand alone’.

“Kita (MBPP) tidak akan melakukan pemutihan secara drastik sekiranya kita melindungi syarikat tertentu,” jelas beliau.