Ketua Audit Negara dahului senarai penerima darjah kebesaran

GEORGE TOWN – Ketua Audit Negara, Tan Sri Datuk Setia Ambrin Buang mendahului senarai 1,275 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-77 Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas di sini baru-baru ini.

Ambrin, 66, yang memegang jawatan Ketua Audit Negara sejak Februari 2006 adalah antara tujuh penerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N.) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Pemilihan Ambrin sebagai pendahulu senarai penerima adalah dengan mengambil kira jasa dan sumbangan beliau terhadap negara dan negeri Pulau Pinang selaku Ketua Audit Negara.

Ketika ditemui, Ambrin berkata, beliau melihat pengurniaan darjah kebesaran tersebut sebagai penghormatan tertinggi kepada profesion seorang juruaudit di sektor awam.

“Pengurniaan darjah kebesaran ini adalah sebagai pengiktirafan terhadap kerja-kerja yang dijalankan oleh rakan-rakan di Jabatan Audit Negara terutama di cawangan Negeri Pulau Pinang.

“Terima kasih kepada Yang diPertua Negeri (TYT) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan saya secara peribadi menganggap pengurniaan darjah kebesaran ini sebagai satu penghormatan tertinggi,” katanya yang turut ditemani isteri, Puan Sri Datin Seri Hindon Yusoff.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Bekalan Air Sdn. Bhd. (PBAPP) dan CEO PBA Holdings Bhd., Ir. Jaseni Maidinsa turut menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N.) yang membawa gelaran Datuk.

“Pengiktirafan ini merupakan suatu penghormatan tertinggi setelah 30 tahun berkhidmat dalam PBA dan juga negeri Pulau Pinang.

“Sekarang ini saya mempunyai satu masalah kerana cucu saya memanggil saya ‘atuk’, sekarang perlu panggil ‘Datuk’,” katanya berseloroh kepada Buletin Mutiara sambil ditemani isteri, Datin Dr. Rohana Ariffin.

Selain Jaseni, Setiausaha Sulit kepada Yang Dipertua Negeri, Shahul Hamid Abdul Kadir turut menerima D.S.P.N. Shahul yang telah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit kepada tiga TYT sejak 25 tahun lalu hadir
bersama isteri, Dr. Jameelah Shaikh Ibrahim.

Seramai 49 individu menerima D.S.P.N. Antaranya, Ahli Lembaga Pengarah Pusat Urus Zakat Pulau Pinang, Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Pengarah St. Nicholas Home, John Alexander Rodgers; bekas pemain kebangsaan bola sepak negara (1970-an), Mohamad Bakar; Pengasas Persatuan Kebajikan Kanak-kanak  Shan Negeri Pulau Pinang, Dr. S.S. Balakrishnan; Pengarah Urusan Mydin Wholesales Emporium dan Hypermarket, Dr. Saduruddin Gulan Husen dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung, Zainuddin Ahamad.

Seramai 12 individu menerima D.M.P.N. yang membawa gelaran Datuk. Antaranya Pengurus Besar Kanan Lembaga Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Abdul Rahman; Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bukit Bendera, Datuk S. Kumaran, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang, Datuk Ar Jong East Full dan Presiden Pertubuhan Warisan Jawi Peranakan Pulau Pinang, Dato’ Dr. Wazir Jahan Begum Abdul Kadir.

Selain itu, enam individu turut menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N.) yang membawa gelaran Datuk Seri, antaranya, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Noor Rashid Ibrahim; Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin; Pengarah Urusan Eastern & Oriental Berhad, Datuk Tham Ka Hon, Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Ismail Mohamed Othman; Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Datuk Mohamed Mustafa Ishak dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan SAA Resources Sdn. Bhd., Datuk Shaik Aqmal Shaik Alaudin.

68 individu menerima Darjah Johan Negeri (D.J.N.), Bintang Cemerlang Negeri (B.C.N.) (25), Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) (152), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (497), Pingat Jasa Masyarakat (PJM) (393) dan Pingat Bakti Setia (PBS) (68).

Penerima penganugerahan B.C.N., Ketua Polis Daerah (OCPD) Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Mior Faridalathrash Wahid berkata, pengiktirafan diterimanya menjadi dorongan untuk beliau terus meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Pencapaian dan anugerah yang diterima ini diharap dapat menyuntik semangat kepada anggota lain untuk sama-sama memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya yang ditemani isteri, Nor Qhadhijah Abdul Wahab.

} else {